'Artis kampung? Saya tak kisah'

0
62



DILABEL artis kampung, pendatang baru Wany Hasrita, 25, sedikitpun tidak terkesan dengan gelaran itu.

“Jika gelaran itu diberi kepada saya kerana imej saya sebagai penyanyi berhijab, saya berasakan umum harus lebih terbuka sekaligus menghakis pemikiran skeptikal bahawa artis bertudung kampung.

“Dan seandainya gelaran itu mempunyai kaitan dengan genre muzik balada yang diperjuangkan saya atau nyanyian yang mendayu, Alhamdulillah single pertama saya, Menahan Rindu, diterima baik bukan saja peminat luar bandar tetapi juga warga kota.

“Walaubagaimanapun saya tidak kisah apapun gelaran yang ingin diberikan. Paling penting bagi saya, lagu-lagu saya dapat menghiburkan pendengar,” katanya ditemui di majlis pelancaran aplikasi Metro TV di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Wany atau nama Nurshazwany Hasrita Hasbullah, pada pertemuan itu turut ditanya mengenai populariti mendadak yang dilaluinya ketika ini sehingga menjadi perhatian ramai dan kecaman netizen.

“Terus-terang saya masih lagi membiasakan diri dan belajar untuk menerima keadaan yang kini saya adalah selebriti di mana setiap tindak-tanduk saya menjadi perhatian ramai. Kadang itu, rasa janggal bila kemana saja pergi orang menegur dan ingin bergambar. Bukan sombong tetapi saya sebenarnya rasa malu sebabnya belum begitu dapat membiasakan diri

“Sebelum ini misalnya, ada kelompok netizen yang tidak boleh menerima cara saya yang sedikit gila-gila kerana dikatakan tidak sesuai dengan imej saya yang berhijab.

“Sedangkan saya sama saja seperti remaja seusia saya selain seorang yang ringkas.

“Pun begitu mana komen yang membina saya ambil. Mana yang berbaur menjatuhkan, saya tidak ambil pusing. Saya senang diterima kerana kesederhaan saya,” katanya yang baru selesai pengajian Sains Perubatan di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) Shah Alam.

Terbaharu, selepas kejayaan single Menahan Rindu, penyanyi naungan syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) ini baru saja meluncurkan single duet terbaru bersama Tajul Ariff berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu hujung April depan.

Kolaborasi duet bersama Tajul itu mencetuskan gosip di antara mereka berdua yang khabarnya hangat bercinta dan hal ini disangkal oleh Wany.

“Kami sudah seperti adik-beradik. Projek duet ini adalah idea syarikat rakaman memandangkan saya dan Tajul bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama. Buat masa ini, saya tolak tepi soal cinta kerana ingin memfokuskan kepada bidang nyanyian yang baru saja bermula,” katanya.

Klip video lagu Menahan Rindu nyanyian Wany terbitan syarikat rakaman FMC yang dimuat naik di YouTube pada Disember tahun lalu kini ditonton melebihi 7 juta kali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here