Arul Kanda enggan ulas lanjut isu kepimpinan Khazanah

0
46

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy enggan mengulas lanjut sama ada beliau merupakan salah seorang calon yang sedang dipertimbangkan untuk mengambil alih kepimpinan Khazanah Nasional Berhad pada 2019.

Arul enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut apabila dihubungi oleh Astro AWANI hari ini.

10 Ogos lalu, portal berita The Malaysian Insight melaporkan bahawa sebuah panel telah dibentuk, dengan tugas untuk mengenal pasti pengganti Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar selepas kontraknya tamat pada 2019.

Azman memegang jawatan tersebut sejak Jun 2004.

Laporan itu mendakwa, Arul merupakan salah seorang calon yang dipertimbangkan, selain Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, serta barisan pengarah eksekutif Khazanah Hisham Hamdan, Ahmad Zulqarnain Onn dan Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz.

Khazanah mempunyai aset berjumlah RM145.1 bilion setakat akhir tahun lepas, dan mempunyai pegangan dalam lebih 100 syarikat dalam pelbagai sektor.

Arul mengetuai pelan rasionalisasi 1MDB sejak mengambil alih syarikat pelaburan strategik itu pada Januari 2015.

Jumaat lepas, 1MDB mengumumkan ia telah membayar hutang sebanyak AS$350 juta (RM1.5 bilion) kepada syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC).

1MDB berkata, ia mempunyai sehingga 31 Ogos ini untuk melangsaikan baki pembayaran tersebut.

Syarikat itu berkata, kesemua dana yang dibayar kepada IPIC adalah hasil dari program rasionalisasinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here