AS gesa sekatan baharu terhadap Pyongyang

0
11


Nikki Haley. – Foto AFP

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) mengetuai gesaan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk sekatan lebih tegas ke atas Korea Utara selepas ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM).

Kim Jong-un menyifatkan ujian peluru berpandu itu sebagai hadiah kepada ‘Amerika yang bangsat’.

Duta AS ke PBB Nikki Haley berkata, Washington sedang menyediakan satu deraf resolusi pelaksanaan sekatan baharu ke atas rejim Kim Jong Un, sambil menyifatkan pelancaran ICBM itu ‘satu kemuncak tindakan ketenteraan’ yang menjadikan ‘dunia tempat amat bahaya.’

“Dalam tempoh beberapa hari lagi, kami akan mengemukakan satu resolusi kepada Majlis Keselamatan yang sejajar dengan tindakan Korea Utara,” katanya dalam sesi tergempar PBB.

Haley berkata, AS mahu mengelak konfrontasi tentera dan fokusnya kini ialah bagaimana mengetatkan sekatan, mengenal pasti peranan utama China.

“Kebanyakan beban menguatkuasakan sekatan PBB terletak di bahu China. Sembilan puluh peratus perdagangan dengan Korea Utara adalah dari China.

“Kami akan bekerjasama dengan China, dengan mana-mana dan setiap negara yang percaya dengan perdamaian, namun kami tidak akan mengulangi pendekatan tidak wajar pada masa lalu yang membawa kita seperti hari ini,” kata Haley.

Sekatan baharu itu mungkin menyasar negara yang meneruskan hubungan dagangan dengan Korea Utara, mengekang eksport minyak ke Korea Utara, mengetatkan sekatan udara dan maritim serta larangan perjalanan ke atas pegawai Pyongyang.

Dalam perkembangan sama, China memaklumkan Majlis Keselamatan semalam, tindakan ketenteraan bukan ‘satu pilihan’ dalam menangani krisis Pyongyang.

Duta China Liu Jieyi memaklumkan, negaranya sentiasa menentang sekeras-kerasnya huru hara dan konflik di semenanjung Korea.

“Tindakan ketenteraan bukan satu pilihan dalam isu ini,” kata Liu dalam sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB. -AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here