AS sedia kerjasama dengan Russia stabilkan Syria

0
21


WASHINGTON: Amerika Syarikat bersiap sedia berbincang mengenai usaha sama dengan Russia bagi menstabilkan Syria, termasuk zon larangan terbang, kata Setiausaha Negara, Rex Tillerson.

Beliau menambah, AS mahu berbincang dengan Russia mengenai kegunaan pemerhati gencatan senjata dan menyelaraskan penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Syria.

“Jika kedua-dua negara bekerjasama untuk memastikan kestabilan, ia memberikan asas kepada kemajuan penyelesaian masa depan politik Syria,” kata Tillerson dalam kenyataan menjelang sidang kemuncak G20 di Jerman minggu ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut mengenai masa depan Presiden Bashar al-Assad.

AS menyalahkan Assad di atas perang saudara enam tahun itu dan menggesa beliau meletak jawatan.

Tillerson berkata, Russia bertanggungjawab mengelakkan penggunaan senjata kimia oleh kerajaan Assad.

Washington menyerang pangkalan udara Syria dengan peluru berpandu April lalu selepas menuduh kerajaan Assad membunuh puluhan penduduk awam dalam serangan kimia.

Presiden Donald Trump dan Presiden Vladimir Putin dijangka bertemu pada sidang kemuncak di Hamburg itu dan Tillerson berkata, Syria akan menjadi topik perbincangan. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here