ASEAN-EU berusaha pulihkan rundingan FTA

0
157
Advertisement

SINGAPURA: ASEAN dan pihak Kesatuan Eropah (EU) berusaha sedaya upaya untuk meninjau kemungkinan menghidupkan semula rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan akan mengemukakan perkembangannya di mesyuarat perundingan pada 2019.

Menteri Perdagangan dan Industri (Perdagangan) Singapura, Lim Hng Kiang, berkata demikian ketika ditanya mengenai tarikh rundingan semula FTA ASEAN-EU pada sidang media selepas Perundingan Pesuruhjaya Perdagangan EU-Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-16, di sini, pada Jumaat.

Perundingan kali ini dipengerusikan bersama oleh Lim dan Pesuruhjaya Perdagangan EU, Cecilia Malmstrom.

Singapura merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun ini.

Menjawab pertanyaan sejauh mana kesungguhan ASEAN-EU menyambung usaha FTA tersebut, Lim berkata: “Kesungguhan politik untuk melancarkan FTA ASEAN-EU itu memang ketara. Bagaimanapun, kita akui ia merupakan satu usaha yang sukar.

“Oleh itu, selepas kita saling memahami satu sama lain secara mendalam, sudah pasti rundingan juga menjadi lebih lancar. Banyak usaha yang diperlukan untuk membangunkan rangka kerja ini agar ia berkesan dan bermanfaat.”

Rundingan FTA ASEAN-EU itu dilancarkan pada 2007 namun perkembangannya perlahan dan terbantut pada 2009.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Perundingan itu, Pesuruhjaya Perdagangan AEM dan EU turut menyentuh Laporan Kemajuan yang dikemukakan oleh Kumpulan Kerja Bersama (JWG) bagi pembentukan rangka kerja membabitkan masa depan FTA berkenaan.

Pihak Pesuruhjaya Perdagangan AEM dan EU turut mempertanggungjawabkan Pegawai Kanan Ekonomi untuk meneruskan usaha mewujudkan rangka kerja itu, termasuk menerusi saluran rundingan domestik secara berterusan selain penglibatan dialog pakar, kata kenyataan itu.

Malah, kedua-dua pihak Pesuruhjaya Perdagangan AEM dan EU juga menyambut baik hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh antara kedua-dua wilayah berkenaan.

EU merupakan rakan dagang kedua terbesar ASEAN pada 2016.

Mengikut statistik EU, perdagangan dua hala ASEAN-EU mencecah 226.8 bilion euro (1 euro = RM4.79) pada 2017 dan meningkat 9.1 peratus bagi tahun ke tahun.

Selain itu, EU turut mengekalkan kedudukannya sebagai sumber terbesar pelaburan langsung asing ke ASEAN pada 2016 yang bernilai 26.3 bilion euro.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here