ASEAN-India setuju tingkat kerjasama maritim

0
19
Advertisement

NEW DELHI: Pemimpin ASEAN mengalu-alukan hasrat India untuk mempertingkat kerjasama maritim antara ASEAN dan India dengan menjadikannya sebagai satu keutamaan dalam hubungan strategik kedua-dua pihak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia telah menekankan bahawa ASEAN dan India harus terus menggalakkan kerjasama serantau dalam keselamatan maritim terutamanya dari segi pembinaan keupayaan, pertukaran dan perkongsian maklumat yang boleh menghalang serta memerangi kegiatan jenayah di laut termasuk juga ancaman tidak konvensional seperti keganasan dan extremisme serta kegiatan lanun.

“Sehubungan dengan ini kerjasama strategik dalam bidang maritim ini juga menunjukkan bahawa potensi yang boleh kita raih melalui cara kita mengeksplotasikan semua sumber maritim dengan kaedah pembangunan mampan yang sentiasa menekankan pemeliharaan alam sekitar.

“Ini adalah pendekatan yang sebaik-baiknya. Potensi maritim dan sumber laut ini adalah amat besar dan seharusnya dimanfaatkan untuk kepentingan kita bersama,” katanya kepada pemberita Malaysia di sini, hari ini.

Perdana menteri berada di New Delhi atas undangan Perdana Menteri India Narendra Modi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India bersempena ulang tahun ke-25 hubungan dialog ASEAN-India.

Terdahulu, perdana menteri menghadiri sesi pemukiman bersama pemimpin-pemimpin ASEAN dan India yang bertemakan kerjasama maritim dan keselamatan.

Dalam pada itu, Najib berkata pemimpin 10 blok negara ASEAN turut mengambil maklum bahawa pada 2016 perdagangan barangan ASEAN-India mencecah US$58.4 bilion, iaitu 2.6 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan ASEAN.

“Ini menempatkan India sebagai rakan dagang ASEAN yang keenam terbesar selepas China , Kesatuan Eropah, Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan,” katanya.

Mengikut statistik yang dikeluarkan kerajaan India, perdagangan ASEAN-India hampir mencecah US$72 bilion tahun lepas.

Sementara itu, Najib menyertai Modi dan pemimpin negara anggota ASEAN yang lain melancarkan set setem peringatan bersempena sidang kemuncak itu.

Set setem itu bagi menandakan 25 tahun hubungan ASEAN-India, mengandungi 11 setem iaitu masing-masing 1 setem untuk India dan 10 negara anggota ASEAN.

Bagi Malaysia, setem itu menampilkan Gerbang Torana di Little India, Brickfields, hadiah daripada kerajaan India kepada Malaysia sebagai lambang persahabatan kukuh antara kedua-dua negara.

Monumen itu yang dirasmikan secara bersama oleh Modi dan Najib pada 2015 mempunyai seni reka Hindu dan Buddha di benua kecil India.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here