Askar dikerah kawal keselamatan

0
63



Manchester: Britain semalam mengerahkan askarnya mengawal keselamatan di lokasi utama negara itu serta menaikkan tahap amaran keganasan ke tahap maksimum susulan serangan berani mati di sebuah konsert di Manchester oleh lelaki tempatan keturunan Libya yang dipercayai mempelajari fahaman radikal di Syria.

Askar dikerah mengawal lokasi seperti Istana Buckingham, bangunan Parlimen di Westminster serta kedutaan asing di London untuk membolehkan polis bebas melaksanakan tugas antikeganasan.

Sementara itu, Perdana Menteri Theresa May berkata, terdapat kemungkinan akan berlaku lagi serangan.

Sementara itu, acara Pertukaran Pengawal di depan Istana Buckingham yang menjadi tarikan pelancong – dibatalkan semalam manakala Parlimen menangguhkan semua acara awam.

Serangan awal Selasa lalu (waktu Malaysia) itu adalah yang terburuk di Britain sejak 7 Julai 2005 apabila empat penyerang berani mati yang terpengaruh dengan kumpulan Al-Qaeda menyerang sistem pengangkutan awam London pada waktu sibuk, menyebabkan 52 orang terbunuh.

Dalam kejadian di Manchester kelmarin, 59 orang dibawa ke hospital, ramai daripadanya dalam keadaan serius. Seramai 12 berusia di bawah 16 tahun.

Dua puluh orang masih dalam keadaan kritikal, kata pihak berkuasa semalam.

Rancangan mengerahkan askar buat kali pertama itu yang dinamakan Operation Temperer dan mula dilakukan sejak serangan di Paris pada November 2015. Ia membolehkan sehingga 5,000 anggota tentera dikerahkan untuk membantu polis.

Kali terakhir tentera dikerahkan mengawal keselamatan di Britain ialah pada 2003.

Sebelum ini, polis Britain sudah pun mengumumkan langkah keselamatan tambahan sempena beberapa acara sukan termasuk perlawanan akhir bola sepak FA pada Sabtu ini. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here