Astro, Karangkraf tubuh syarikat usahasama

0
17

KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Bhd menandatangani kerjasama bersama Grup Majalah Karangkraf Sdn Bhd.

Melalui kerjasama tersebut, Astro dan Karangkraf akan memanfaatkan platform masing-masing dalam memasarkan kandungan mereka.

Kerjasama tersebut bakal menyaksikan Astro melabur RM100 juta bagi pegangan 51 peratus dalam syarikat usahasamanya bersama Karangkraf, Karangkraf Digital 360 Sdn Bhd.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Datuk Rohana Rozhan, kerjasama ini selaras dengan inisiatif Astro untuk meningkatkan fokusnya kepada platform digital.

“Kerjasama ini mewujudkan situasi menang-menang. Kandungan Astro banyak berbentuk panjang, untuk ditonton di rumah atau di skrin besar.

“Tetapi hari ini realitinya adalah, jika anda menonton kandungan di telefon bimbit, anda tidak menonton kandungan di televisyen atau di radio.

“Kami percaya dengan kandungan merentasi platform. Jadi, kerjasama ini bakal memberikan kami keluasan dan kedalaman dalam hubungan kami dengan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Karangkraf juga bakal memanfaatkan kehadiran Astro di platform televisyen dan digital dalam memasar dan mendigitalkan semua kandungannya yang sedia ada.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, kerjasama ini juga akan memberikan peluang kepada kumpulan itu untuk menghidupkan semula kandungan yang berada di dalam arkibnya sejak 30 ke 40 tahun lalu.

“Kesemua kandungan yang sedia ada di Karangkraf, kita akan tukarkannya kepada kandungan digital.

“Kita juga akan menambah baiknya secara 360 darjah dalam pelbagai bentuk,” katanya.

Astro menjangkakan kerjasama ini bakal meningkatkan jumlah pembaca atas taliannya kepada kira-kira 10 juta orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here