Astro rekod pendapatan RM1.31 bilion

0
410
Advertisement

KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad mencatatkan pendapatan RM1.31 bilion bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Januari 2019, dipacu daya tahan dan usaha mempelbagaikan perniagaan dalam persekitaran mencabar pasaran.

Kadar Perbelanjaan Pengiklanan (ADEX) turut meningkat enam peratus kepada RM151 juta, sekaligus melepasi purata pasaran.

Astro turut merekodkan pertumbuhan pelanggan enam peratus tahun ke tahun kepada 5.5 juta pelanggan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan, pertumbuhan pasaran Astro meningkat sebanyak enam peratus tahun ke tahun kepada 5.5 juta.

“Dalam erti kata lain kami berjaya menembusi 75 peratus isi rumah di Malaysia. Kami turut merekodkan EBITDA kukuh sebanyak RM461.3 juta.

“Ini adalah hasil dari keupayaan kami mempertahankan dan memperluaskan lagi pangkalan data pelanggan dan jangkauan kami, justeru membuka ruang untuk kami meningkatkan peluang perniagaan merentasi kandungan vertikal berbayar, jualan pra – bayar, penjualan iklan, perdagangan dan Go Shop,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, saluran edagang Go Shop merekodkan pendapatan RM84 juta, peningkatan 35 peratus.

Astro juga menyaksikan peningkatan Adex TV sebanyak 17 peratus dari tahun ke tahun kepada RM83 juta dan pada masa sama didorong pertumbuhan medium pendapatan baharu yang tercipta dari inisiatif perdagangan dan Go Shop, pek pra – bayar NJOI dan Adex digital.

“Astro kini dalam fasa membangunkan sebuah pangkalan data pelanggan yang lebih komprehensif melibatkan persona setiap pelanggan menerusi proses analitik data.

“Ia bertujuan memacu hubungan pelanggan yang lebih rapat dan bersifat individu, merentasi semua aset media.” Jelasnya lagi.

Astro juga terus komited dalam strategi inisiatif transformasi digital syarikat dan memastikan pengurusan kos cekap.

Penguasaan semula segmen premium

Penyiaran Piala Dunia FIFA Russia 2018 bakal menjadi titik permulaan usaha Astro untuk mendapatkan semula pelanggan segmen premium.

Kesemua 64 perlawanan akan dipancarkan secara langsung dalam paparan berdefinisi tinggi (HD), di mana 37 daripadanya adalah eksklusif buat tontonan di televisyen dan peranti pintar menerusi Astro GO, NJOI Now dan aplikasi Stadium Astro serta acara lapangan.

“Menjadi matlamat kami untuk kekal sebagai pembekal media nombor satu pilihan pelanggan dengan sentiasa menjadi lebih baik dan bergerak seiring dengan arus pendigitalan serta teknologi baru untuk mengekalkan jangkauan dan penglibatan pelanggan kami.

“Pada masa sama, kami akan terus memperhebatkan kandungan tempatan dan Nusantara, produk dan perkhidmatan di kesemua aset media kami.

“Selain turut mempelbagaikan aliran pendapatan dalam pertumbuhan produk digital seperti Tamago, eGG Network, Go Shop dan Tribe dengan disokong oleh pengurusan kos yang efisien untuk mendapatkan keputusan operasi dan kewangan yang kukuh,” tambahnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here