Australia bakal larang pesalah pedofilia ke luar negara

0
62


CANBERRA: Australia bercadang melarang pesalah pedofilia disabitkan daripada berkunjung ke luar negara dalam apa yang dikatakan kerajaan tindakan pertama di dunia melindungi kanak-kanak di Asia Tenggara daripada dieksploitasi.

Pedofilia Australia terkenal kerana sering melakukan percutian murah di negara Asia Tenggara dan kepulauan Pasifik untuk mendera kanak-kanak di sana.

Menteri Luar Julie Bishop berkata, beliau akan membatalkan pasport kira-kira 20,000 pesalah pedofilia dalam pendaftaran pesalah seks kanak-kanak kebangsaan di bawah peraturan yang akan diperkenalkan di Parlimen tidak lama lagi.

“Ada peningkatan kebimbangan masyarakat berhubung eksploitasi seksual kanak-kanak dan kebimbangan masyarakat itu adalah wajar,” katanya kepada media.

Katanya, hampir 800 pesalah seks kanak-kanak yang berdaftar berkunjung ke luar negara dari Australia tahun lalu dan separuh daripadanya berkunjung ke Asia Tenggara.

“Ada peraturan baharu yang akan menjadikan Australia peneraju di dunia dalam melindungi kanak-kanak lemah di rantau kami daripada pelancongan seks kanak-kanak,” kata Bishop.

Menteri Kehakiman Michael Keenan berkata, tiada negara pernah memperkenalkan larangan seperti itu.

Katanya, 2,500 pesalah pedofilia baharu disabitkan akan ditambah kepada pendaftaran pesalah seks setiap tahun dan bakal kehilangan pasport mereka.

Pendaftaran itu termasuk 3,200 pesalah serius yang akan dilarang daripada ke luar negara seumur hidup. -AP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here