Awas! Anda mungkin dipenjara jika hina lagu kebangsaan China

0
42

BEIJING: Anda mungkin dipenjara jika tidak menghormati lagu kebangsaan China selepas Beijing meluluskan undang-undang baru yang membolehkan sesiapa sahaja yang menghina lagu kebangsaan China ditahan polis selama 15 hari.

Undang-undang terbabit turut terpakai di wilayah autonomi Hong Kong dan Macau.

Laporan Reuters menyebut undang-undang yang diluluskan Kongres Rakyat Nasional China itu dibuat bagi “melindungi maruah lagu kebangsaan” yang pada masa sama akan meningkatkan “semangat patriotisme dan membentuk nilai teras sosialis”.

Undang-undang itu turut menyebut bagaimana, di mana dan bila lagu kebangsaan China itu boleh dimainkan.

Ia juga mengharamkan lagu tersebut digunakan sebagai lagu latar atau dalam pengiklanan.

Undang-undang itu turut mengharamkan lagu kebangsaan China dimainkan semasa majlis pengkebumian atau di majlis-majlis lain yang tidak bersesuaian.

Undang-undang terbabit menyemarakkan kebimbangan dalam kalangan warga Hong Kong yang semakin risau dengan campur tangan Beijing dalam wilayah autonomi tersebut.

Undang-undang berkenaan diluluskan ketika semakin ramai warga Hong Kong yang menyuarakan bantahan terhadap China.

Pada 2015, sekumpulan peminat bola sepak Hong Kong menghina lagu kebangsaa China semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia, mengakibatkan Persatuan Bola Sepak Hong Kong didenda oleh FIFA.

Pada 2014, siri protes yang juga disebut ‘Revolusi Payung’ disertai ribuan warga Hong Kong bermatlamat menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap campur tangan Beijing dalam sistem pilihan raya Hong Kong.

Kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun termaktub dalam Undang-Undang Asas Hong Kong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here