Awas! Gelembung hartanah mungkin terbentuk – Johari

0
79
Advertisement
KUALA LUMPUR: Gelembung hartanah dikhuatiri terjadi sekiranya isu hartanah tidak terjual di negara ini tidak diatasi segera, tegas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani.

“Jika kita lihat pusat beli-belah, kira-kira 30 juta kaki persegi lagi akan dibina, saya tak pasti bagaimana ruangan ini semua akan diisi, malah semua jenama di dunia sudahpun bertapak di Malaysia,” katanya.

Johari berkata, ini merupakan tambahan kepada pembinaan ruangan pejabat yang dijangka mencapai 42 juta kaki persegi serta pembinaan kediaman bertingkat yang dijangka mencecah 130,000 unit tahun ini.

“Kesemua ini kalau tidak dikawal, akan membentuk gelembung!

“Kita tak mahu jadi seperti Ireland, di mana 30 peratus dari KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) disumbang sektor hartanah sahaja dan akhirnya penarafan mereka diturunkan dari AAA ke BBB,” katanya.


GLOSARI: Gelembung hartanah adalah keadaan peningkatan harga hartanah didorong permintaan, spekulasi dan kerancakan industri. Keadaan menjadi semakin rumit apabila spekulator masuk ke pasaran dan memacu permintaan. Gelembung berkenaan boleh ‘pecah’ apabila harga hartanah jauh melebihi harga sebenar aset berkenaan.


Johari berkata, fokus kerajaan kini adalah untuk memastikan pemaju hartanah meneliti setiap projek secara komprehensif sebelum memulakan projek berkenaan.

November lalu, kerajaan menguatkuasakan pembekuan kelulusan bagi pembinaan hartanah bernilai RM1 juta ke atas, selepas Bank Negara Malaysia menerbitkan laporan yang menunjukkan ketidakseimbangan dalam sektor hartanah Malaysia.

Laporan Bank Negara antara lain menyebut, setakat suku pertama 2017, jumlah kediaman tidak terjual berada pada paras tertinggi dalam 10 tahun, kerana harga kediaman yang dibina tidak berpadanan dengan kemampuan rakyat.

Johari berkata demikian sewaktu sesi dialog bersama Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak. - Foto Astro AWANI/Luqman Hariz

“Kerajaan bukan mengarahkan pemaju hartanah terus berhenti membina atau membangunkan hartanah tetapi kami mengingatkan mereka bahawa masih terdapat golongan masyarakat yang memerlukan kediaman berharga bawah RM1 juta,” katanya.

Johari bagaimanapun berkata, pengecualian masih boleh dibuat terhadap pembekuan tersebut mengikut kesesuaian.

Katanya, pemaju yang masih mahu membangunkan hartanah bernilai RM1 juta ke atas perlu mendapatkan kelulusan dari Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya kelulusan mungkin diberikan selepas KPKT mempertimbangkan beberapa faktor seperti lokasi pembinaan dan jangkaan jualan.

“Ia bukan pembekuan sepenuhnya, jika ia pembekuan sepenuhnya, semua pemaju hartanah perlu memberhentikan pekerja mereka.

“Jika pemaju hartanah mempunyai masalah, sektor perbankan akan bermasalah, kemudian ekonomi negara secara keseluruhannya pula akan bermasalah,” kata Johari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here