Aweera rasa tercabar dengan Joe

0
215
Advertisement



PENYANYI, Aweera, 27, membalas kenyataan anggota Prime Domestic, Joe selepas mengeluarkan kenyataan mengenai dirinya yang dikatakan tidak berdisiplin dan tiada peningkatan sepanjang bergelar vokalis band itu.

Menurut bekas vokalis Prime Domestic itu, dia yang sebelum ini tidak mahu isu ini heboh rasa tercabar apabila membaca kenyataan itu dalam sisipan Rap dalam Harian Metro hari ini.

“Pertama kali saya keluarkan kenyataan mengenai pengunduran saya daripada Prime Domestic, saya langsung tidak ada mengutuk atau mengungkit apa-apa pun.

“Tapi, bila saya baca sendiri kenyataan yang dibuat, nampaknya ada beberapa bahagian yang seperti menjatuh dan mengaibkan saya. Nampaknya, Joe seperti mencabar saya dan dua lagi bekas anggota iaitu Fauzi dan Hillary,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham, dia juga menafikan dirinya tidak berdisiplin.

“Disiplin? Benda mudah saja. Selain menggalas tanggungjawab sebagai vokalis Prime Domestic, saya juga ada karier solo saya.

“Tak mungkin saya akan lupakan karier solo saya semata-mata kerana saya bekerja dengan Prime Domestic. Jadi, saya seimbangkan kedua-duanya.

“Bila saya menjalani latihan dengan Prime Domestic, saya akan fokus sepenuhnya dan kalau saya berlatih untuk persembahan solo, saya akan beri perhatian kepada latihan solo,” katanya.

Dia juga menyentuh mengenai isu bayaran yang dikatakan tidak berbaloi.

“Rasanya, kalau sesuatu benda itu berbaloi dengan bayaran, tak mungkin saya dan anggota lain akan ‘cabut’.

“Kami pun bukan orang pertama yang keluar dari band itu. Sebelum saya, ada enam vokalis pernah tarik diri daripada Prime Domestic,” katanya lagi.

Mengenai dirinya yang dikatakan tiada peningkatan dalam persembahan, Aweera menganggap itu adalah kerana sesi latihan yang membuatkannya tiada masa untuk berehat sehingga memberi kesan kepada suaranya.

“Kalau orang yang ada di studio ketika sesi latihan dilakukan, saya berlatih tanpa henti selama sebulan lebih untuk konsert dan kalau di pentas, membuat persembahan sebanyak 25 lagu.

“Tidak ada orang yang sempurna dan kalau dah berlatih setiap malam secara ‘all out’, saya sendiri pun mengalami masalah sakit tekak,” katanya.

Aweera juga memaklumkan, dia bersama Fauzi (bassis) dan Hillary (gitaris) akan mengadakan majlis sidang media untuk menjelaskan situasi sebenar.

“Insya-Allah, awal September nanti, saya bersama dua bekas anggota Prime Domestic akan mengadakan sidang media untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.

“Kami akan jelaskan kesemua perkara yang dibangkitkan oleh Joe dan pihak pengurusan untuk membersihkan nama kami,” katanya.

Aweera sebelum ini sudah meninggalkan Prime Domestic sejak sebulan lalu dan menganggap tiada rezeki untuknya bersama band itu.

“Sekarang, fokus saya adalah kepada kerjaya solo saya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here