Axiata yakin idea catat prestasi kewangan positif dalam tempoh tiga tahun

0
345
Advertisement

KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi serantau, Axiata Group Bhd, yakin sekutunya di India yang mengalami kerugian, Idea Cellular Ltd, akan kembali mencatatkan prestasi kewangan positif selepas perang sengit harga reda.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata industri telekomunikasi di India dijangka mengalami rasionalisasi selepas tempoh persaingan sengit yang didorong pesaing, Reliance Jio Infocomm Ltd.

“Sekiranya anda lihat selepas dua atau tiga tahun, kami yakin Reliance Jio akan lebih giat namun tidak ketara seperti hari ini kerana ia juga perlu menjana keuntungan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini, pada Rabu.

Semalam, Axiata mengumumkan ia merekodkan kerugian bersih RM94.36 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2018 daripada keuntungan bersih RM262.03 juta pada suku sama tahun lepas sebahagiannya berikutan bahagian kerugian perniagaan lebih besar daripada Idea iaitu sebanyak RM124.3 juta.

Selepas menyaksikan banyak syarikat dalam kalangannya melaksanakan sama ada penamatan operasi atau penggabungan, Idea memutuskan untuk bergabung dengan Vodafone India bagi membentuk firma telekomunikasi terbesar India dari segi perolehan dan muncul sebagai antara yang terbesar di dunia.

Jamaludin berkata sinergi daripada penggabungan itu akan membolehkan entiti gabungan tersebut melabur lebih banyak dan menguntungkan dari segi kos.

Bagaimanapun, pegangan saham Axiata dalam Idea akan dikurangkan kepada lapan peratus daripada 16.3 peratus pada masa ini susulan penggabungan berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, Axiata tidak merancang untuk keluar dari pasaran India memandangkan potensi negara itu yang mempunyai jumlah penduduk 1.2 bilion dengan perolehan industri telekomunikasi dianggarkan pada US$30 bilion (US$1 = RM3.98) setiap tahun.

“Dalam jangka sederhana dan panjang, India adalah pasaran yang agak menarik,” katanya.

Reliance Jio, diterajui jutawan India Mukesh Ambani, membuat pelaburan besar-besaran dalam pelaksanaan perkhidmatan Evolusi Jangka Panjang 4G dari 2014 hingga 2016, sekali gus membolehkan syarikat itu menawarkan pakej sehingga 70 peratus lebih murah berbanding pesaingnya.

Jamaludin berkata syarikat melabur sejumlah US$33 bilion, bersamaan nilai pelaburan keseluruhan yang dibuat syarikat lain bagi tempoh dua dekad lepas di India dan dua kali ganda pelaburan oleh semua syarikat telekomunikasi di Malaysia bagi tiga dekad lepas.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here