'Ayah tak mampu nak'

0
66



Johor Bahru: “Hanya kemeja-T dan seluar bundle (terpakai) berharga RM10 setiap satu mampu saya belikan untuk Nor Azlin bagi menyambut Aidilfitri akan datang,” kata Amran Jabar, 53, yang hilang punca pendapatan sejak menjaga anak sulungnya berusia 27 tahun yang terlantar di rumah sejak empat tahun lalu.

Amran berkata, dalam tempoh sama dia hanya mampu mengumpul barangan untuk dikitar semula berhampiran rumah dengan pendapatan harian sekitar RM5.

“Sebagai bapa saya memang mahu memastikan Nor Azlin yang juga orang kurang upaya (OKU) Palsi Serebrum sentiasa selesa, malangnya saya tidak mampu berbuat demikian kerana tidak boleh meninggalkannya berseorangan di rumah dalam tempoh lama.

“Nor Azlin walaupun hanya terlantar dan tidak mampu berbual, namun dia masih faham perbualan kami dan akan rasa tersinggung apabila melihat ada tetamu datang ke rumah kami pada Aidilfitri lalu memakai pakaian baru, sebaliknya dia hanya memakai baju lama.

“Kebiasaannya apabila merajuk, dia enggan makan menyebabkan kami terpaksa memujuknya berulang kali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Nibong 22, Taman Daya, di sini, semalam.

Amran berkata, seperti kebiasaan dia hanya mampu menyediakan menu telur goreng dan kicap sebagai juadah berbuka puasa untuk seisi keluarganya termasuk Nor Azlin dan anak lelaki bongsu berusia 16 tahun.

Menurutnya, anak keduanya sudah berumah tangga dan melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) perubatan di Universtiti Tun Hussein Onn (UTHM) manakala anak ketiga kini mengikuti pengajian kejuteraan peringkat ijazah di sebuah universiti awam di Melaka serta tinggal di kawasan berhampiran.

Katanya, bantuan bulanan RM300 diperoleh Nor Azlin daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya mampu menampung sebahagian perbelanjaan dapur selain kos pembelian lampin pakai buang.

“Sebagai duda anak empat, saya bersyukur kerana Allah masih memberi kekuatan untuk menggalas tanggungjawab sebagai bapa dengan sebaik mungkin serta menjaga kebajikan anak-anak terutama Nor Azlin. Justeru, saya amat berharap Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) tampil membantu keluarga kami,” katanya.

Amran yang juga pesara tentera laut sebelum ini memikul tanggungjawab menjaga arwah isterinya, Siti Noridah Jamal yang menderita kanser selama enam tahun sebelum meninggal dunia, empat tahun lalu.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan kepada Amran menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0114941000042932.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here