Azim puas hati

0
171
Advertisement



KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berpuas hati dengan persiapan skuad badminton negara menjelang temasya itu yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia bermula 18 Ogos hingga 2 September.

Beliau optimis, skuad badminton negara mampu menghasilkan keputusan cemerlang di Jakarta nanti berdasarkan prestasi semasa ditunjukkan pemain dan persiapan rapi yang dijalankan bagi menghadapi temasya kedua terbesar dunia itu.

“Kami amat berpuas hati dengan persiapan yang dijalankan khususnya dalam kejohanan yang disertai menjelang Sukan Asia. Seperti kita sedia maklum, beregu campuran (Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie) berjaya menjadi juara di Terbuka Singapura semalam.

“Dua minggu lalu, satu lagi beregu campuran (Chan Peng Soon-Goh Liu Ying) menjadi naib juara di Terbuka Indonesia. Ketika ini ada pemain yang berada di Russia bagi menyertai kejohanan di sana sebagai salah satu persiapan ke Sukan Asia.

“Sebelum Sukan Asia, pemain badminton juga akan beraksi di Kejohanan Dunia (di Nanjing, China bermula 30 Julai hingga 5 Ogos), jadi ini satu persiapan yang cukup rapi buat skuad badminton.

“Berdasarkan laporan yang saya terima daripada jurulatih, semua pemain yang akan beraksi bebas daripada kecederaan dan berada pada tahap terbaik, jadi saya harap kita dapat memberi cabaran yang hebat nanti,” kata Azim ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Skuad badminton negara menyenaraikan 14 pemain ke Sukan Asia dengan 10 lelaki dan empat wanita. Malaysia akan menyertai acara berpasukan lelaki, individu lelaki dan individu wanita.

Ditanya mengenai sasaran pingat yang diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada temasya kali ini, Azim berkata belum tiba masa lagi pihaknya mengumumkan perkara itu kerana ia perlu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan semua persatuan sukan yang terbabit dan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Saya belum boleh umum lagi dan saya memang minta BAM juga tidak mengumumkannya. Saya mahu bertemu dengan semua persatuan sukan terlebih dahulu dan selepas itu akan duduk berbincang bersama MSN, ISN dan MOM untuk merumuskan sasaran yang realistik,” kata Azim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here