Aziz M Osman pantau anak yang popular

0
61
Advertisement

MENYEDARI kehidupan anak bongsunya, Puteri Nur Azzahra semakin popular di media sosial, Aziz M Osman mengakui memantau penggunaan alat komunikasi tersebut.

Malah, selebriti berusia 55 tahun ini mengakui memberi kebebasan namun semuanya masih terkawal.

“Memang kita bagi dia sedikit kebebasan, tapi dalam masa sama kita juga bertindak sebagai penapis.

“Selain buat tapisan, kita juga bagi bimbingan kenapa kita perlu buat macam itu. Kita mahu dia faham apa yang ‘do’ and ‘don’t’.

“Kalau kita larang, dia akan memberontak dan cari alternatif lain. Ia lebih membahayakan, jadi lebih baik kita beri saja apa dia mahu tapi dengan cara yang betul,” katanya pada Sinar Harian ketika ditemui selepas pelancaran program realiti, Oh My Family.

Bukan itu sahaja, pelakon filem XX Ray ini juga meletakkan had tertentu dalam penggunaan telefon bimbit.

“Untuk setiap aktiviti dia, ada mula dan akhirnya supaya dia tahu menghormati dan menghargai masa.

“Kita juga jangan amalkan budaya ‘merampas’ kerana secara tak langsung kita bersetuju dengan tindakan tersebut.

“Contohnya, katalah kita bagi dia tengok YouTube, dan tiba-tiba kita mahu ambil telefon tersebut. Kita jangan rampas sebaliknya bagi dia masa dan dia sendiri akan memulangkannya,” katanya.

Puteri Nur Azzahra atau lebih mesra disapa Ara Aziz semakin mendapat perhatian apabila popular menerusi video tutorial solekan yang dimuat naik di Instagram (IG).

Kini, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu memiliki lebih 123,000 pengikut mengalahkan bapanya, Aziz yang hanya mempunyai lebih 43,000 pengikut di laman sosial itu.

Malah, Ara juga mempunyai peminatnya tersendiri.

Ara merupakan anak hasil perkongsian hidup Aziz dengan Puteri Lily Lokman yang dikahwininya pada 2010.

Selain itu, Aziz turut dikurniakan enam cahaya mata menerusi tiga perkahwinan sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Aziz dan Ara juga bakal menjayakan program terbaharu, Oh My Family!

Selain keluarganya, program ini turut menampilkan gelagat anak-anak Datuk Fazley Yaakob, Datuk Aaron Aziz, Azad Jazmin dan Rita Rudaini.

Ia bakal bersiaran di saluran Astro Ria (104), Astro Ria HD (123) dan Astro Ceria (611) pada setiap Rabu, jam 9 malam bermula 11 April depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here