Azmeer nekad bantu KL sebelum pergi

0
233
Advertisement



SELEPAS dua musim bersama Kuala Lumpur, pemain pertahanan Azmeer Yusof berhasrat meninggalkan pasukan itu bagi mencari cabaran baru musim depan.

Justeru, peluang beraksi dalam Piala Malaysia tidak akan disia-siakan dengan tekad membalas kepercayaan jurulatih, Fabio Maciel serta membantu pasukan warga kota itu mencapai tahap terbaik sebelum dia mengucapkan selamat tinggal.

Azmeer yang lebih kerap memanaskan bangku pemain simpanan musim ini mendapat kesempatan untuk kembali berada dalam kesebelasan utama selepas Syazwan Andik Ishak dilepaskan Kuala Lumpur menyertai skuad negara ke Sukan Asia Jakarta-Palembang.

“Saya ingin berterima kasih kepada jurulatih kerana masih mempercayai saya untuk menggantikan tempat Syazwan. Perasaan saya teruja dan sedikit bimbang kerana sudah lama tidak beraksi.

“Musim ini, saya hanya diturunkan sebanyak lima kali saja dalam kesebelasan utama dan dua kali sebagai pemain gantian. Sudah tentu saya sedikit kekok apabila kembali diberikan peluang.

“Bagaimanapun saya akan cuba memberikan yang terbaik bagi membalas kepercayaan jurulatih. Apatah lagi, ini musim terakhir bersama Kuala Lumpur kerana saya berhasrat berpindah ke pasukan lain musim depan,” dedah pertahanan kiri itu.

Azmeer bagaimanapun menafikan keputusannya didorong perasaan kecewa kerana kerap disisihkan jurulatih musim ini walaupun dia antara watak penting yang membantu The Hawks menjuarai Liga Perdana musim lalu dan layak ke Liga Super.

“Perasaan kecewa memang ada tapi saya menerimanya sebagai satu persaingan. Itu bukanlah punca sebenar saya mahu berhijrah ke pasukan lain sebaliknya saya sentiasa mahukan cabaran baru dalam karier saya.

“Dua tahun lalu, saya mencabar diri meninggalkan ATM dan menyertai Kedah walaupun saingan mendapatkan tempat dalam pasukan itu amat sengit. Saya berjaya menempatkan diri dan membantu Kedah menjurai Piala Malaysia.

“Bila saya mahu berpindah ke Kuala Lumpur musim lalu, ramai yang mempersoalkan kerana pasukan itu bermain dalam Liga Perdana. Tapi, akhirnya kami muncul juara dan musim ini bermain dalam Liga Super.

“Musim depan, saya perlukan pasukan baru untuk memberi cabaran baru dalam karier saya. Sudah ada beberapa pasukan menunjukkan minat tapi buat masa ini, saya mahu memberi tumpuan membantu Kuala Lumpur mencapai tahap terbaik dalam Piala Malaysia,” ujar Azmeer.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here