Azrel, Risteena berdepan saman

0
49


PELAKON, Azrel Ismail (kiri) dan Nur Risteena Munim. – Foto NSTP

SUBANG JAYA: Pelakon Yes Sir Nak Pergi Mana?, Azrel Ismail dan Nur Risteena Munim, masing-masing berdepan tuntutan saman ganti rugi RM1.5 juta kerana didakwa melanggar kontrak produksi, JNI Creative Sdn Bhd, yang menerbitkan drama lakonan mereka.

Menurut wakil peguam JNI Creative, Mohd Fadly Hashim, produksi itu memberi tempoh 14 hari kepada dua pelakon terbabit untuk menjawab notis yang dikeluarkan mereka, hari ini.

“Notis tuntutan saman ini dikeluarkan kerana kedua-dua pelakon terbabit didapati melanggar kontrak apabila gagal menghabiskan baki penggambaran dalam tempoh ditetapkan.

“Malah, kenyataan mereka yang mendakwa produksi belum menjelaskan bayaran tertunggak dan membuat laporan polis turut mencalarkan reputasi produksi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

MOHD Fadly (kiri) dan Muhibbudin menunjukkan notis tuntutan saman melanggar kontrak terhadap pelakon Azrel dan Nur Risteena pada sidang media di Subang Jaya, hari ini. – Foto Aswadi Alias

Hadir sama, wakil JNI Creative Sdn Bhd, Muhibbudin Ahmad.

Mengulas lanjut isu itu, Muhibbudin mengaku kecewa dan terkilan dengan kenyataan dikeluarkan kedua-dua pelakon itu, yang didakwa tidak benar.

“Seperti dinyatakan dalam kontrak, semua pelakon akan dibayar secara empat peringkat. Sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan dibayar pada hari pertama mereka di lokasi, bayaran kedua iaitu 20 peratus pula sebaik saja selesai penggambaran 15 episod.

“Sebanyak 35 peratus lagi akan dibayar apabila semua 30 episod selesai, manakala baki 15 peratus pula akan dijelaskan pada hari pelancaran drama berkenaan.

“Bagaimanapun dalam hal ini, Azrel dan Risteena hanya menyiapkan 13 episod dan sebagai pelakon utama, keengganan mereka meneruskan penggambaran berbaki 17 episod lagi membuatkan kos semakin meningkat, sekali gus membuatkan produksi menanggung kerugian,” jelasnya.

Namun begitu, kata Muhibbudin, pihak produksi masih membuka peluang kepada dua pelakon terbabit untuk duduk berbincang dan tidak menolak kemungkinan tuntutan saman itu ditarik balik jika kata sepakat dicapai oleh kedua-dua pihak.

Minggu lalu, Azrel dan beberapa pelakon serta kru drama itu dilaporkan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor, kerana mendakwa produksi berkenaan gagal melunaskan baki bayaran seharusnya diterima mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here