Baca al-Quran kaedah haraki

0
59



Taiping: Klinik al-Fatihah yang diadakan di bazar Ramadan Kamunting, di sini, membuka peluang orang ramai untuk mengetahui tahap penguasaan mereka dalam bacaan al-Quran.

Peserta Mohammad Syimir Abu Bakar, 24, berkata perkhidmatan itu membuka peluang kepada orang ramai untuk memperbaiki mutu bacaan yang dipantau oleh tenaga pengajar bertauliah.

“Klinik al-Fatihah ini seperti pemeriksaan kesihatan, tetapi bezanya ia tertumpu kepada pemeriksaan tahap bacaan al-Quran. Kita akan mengetahui di mana tahap bacaan al-Quran sama ada di tahap rendah, sederhana atau sempurna.

“Selepas mengikuti klinik al-Fatihah selama 10 minit, saya mendapati bacaan saya hanyalah di tahap sederhana. Saya berhajat untuk memperbaiki mutu bacaan dengan mengikuti kelas pengajian al-Quran yang dianjurkan Usrah Haraki,” katanya.

Klinik al-Fatihah antara program Street al-Quran bermula 29 Mei lalu hingga esok yang diterajui Ustaz Zakaria Nasiruddin bermula dari jam 5 petang hingga 6 petang.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Usrah Haraki Ustaz Zakaria Nasiruddin berkata, klinik al-Fatihah yang diadakan berjaya membantu orang ramai untuk mengetahui sejauh mana tahap penguasaan bacaan al-Quran melalui surah al-Fatihah.

“Ini adalah satu pendekatan baru secara percuma untuk masyarakat Islam sempena Ramadan tahun ini. Matlamat kami ingin menarik lebih ramai masyarakat untuk mencintai al-Quran.

“Peserta akan dinilai melalui bacaan al-Fatihah mereka dan kami akan menilai tahap bacaan. Selepas mereka mengetahui tahap bacaan masing-masing maka terpulanglah kepada mereka untuk memperbaiki bacaan melalui mana-mana guru al-Quran yang dikehendaki.

“Program ini akan diteruskan kerana sambutan yang menggalakkan. Orang ramai sudah sedar betapa perlunya memperbaiki serta mempelajari bacaan al-Quran dengan lebih mendalam,” katanya yang juga pengasas pengajian al-Quran kaedah haraki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here