Badan dunia digesa campur tangan henti kekejaman etnik Rohingya

0
55

ALOR SETAR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa badan dunia memberikan tekanan kepada kerajaan Myanmar bagi menghentikan pembunuhan terhadap etnik Rohingya Islam di negara itu.

Naib Presidennya Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata sudah tiba masanya ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bertindak untuk melindungi keselamatan penduduk yang kini diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’ akibat penindasan berterusan.

Katanya berdasarkan laporan yang diterima penduduk di Wilayah Maungdaw, Buthidaung dan Rathedaung dianggarkan lebih 500 penduduk termasuk bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua dibunuh, manakala rumah serta binatang ternakan mereka dibakar dan dihalau.

“Dalam masa dua hari ini, puluhan rumah di lebih 25 kampung telah dibakar, manakala puluhan ribu penduduk telah melarikan diri di perbatasan Myanmar dan Bangladesh untuk mencari perlindungan tanpa makanan. Anda boleh bayangkan mereka dalam keadaan lapar dan kanak-kanak ramai dijangkiti penyakit berjangkit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah Yusof Ali dan Ketua Kempen Anti Penyeludupan Pulau Pinang Zahid Alam.

Ahmad Tarmizi berkata sekiranya badan dunia terus berdiam diri dalam tempoh 24 jam, besar kemungkinan etnik Rohingya di bumi Arakan akan lenyap dari dunia ini kerana jenayah kezaliman yang dilakukan tentera Myanmar dan militan Rakhine sedang berlaku.

“Tidak ada jalan lain selain kita mendesak negara anggota ASEAN memberi respons segera sama ada bertindak untuk menghentikan kekejaman atau membiarkan saja mereka dibunuh, jika itu berlaku, kita boleh menganggap ASEAN tidak berfungsi lagi untuk melindungi rakyat negara anggotanya,” katanya.

Beliau juga menggesa pasukan pengaman PBB segera menghantar pasukan pengaman ke wilayah-wilayah bergolak bagi melindungi masyarakat etnik Rohingya yang kini dinafikan hak kewarganegaraan mereka.

Ahmad Tarmizi berkata setakat ini dianggarkan lebih 100,000 penduduk etnik Rohingya dibunuh semenjak krisis berlarutan sejak 1978.

Sementara itu, Yusof berkata pihaknya mempunyai video dan gambar sebagai bukti kepada jenayah kemanusiaan itu dan sedia bekerjasama dengan ASEAN atau PBB bagi membuktikan kezaliman dan kekejaman kerajaan Myanmar terhadap etnik berkenaan.

“Kerajaan Myanmar bijak menipu PBB apabila lawatan diadakan di negara itu dengan memindahkan penduduk sebenar Rohingya ke kawasan hutan, padang dan tepi laut dan menempatkan mereka yang beragama Hindu dan Buddha di kampung itu…ini memberi reaksi bahawa tiada kezaliman berlaku dan mereka akan terus membantai penduduk di situ,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here