Baghdad bermandi darah, 35 maut dalam serangan bunuh diri

0
59



BAGHDAD: Dua letupan bom kereta dan satu serangan bunuh diri meragut sekurang-kurangnya 35 nyawa di Baghdad, Iraq pada Selasa.

Serangan tengah malam itu turut mencederakan lebih 100 yang lain.
 
Lapor agensi berita Amaq, kumpulan pro Daish telah mengaku bertangungjawab terhadap ketiga-tiga serangan.

Menurut saksi, dalam kejadian pertama, sebuah kereta meletup berhampiran sebuah kedai ais krim popular di pusat beli belah di Karrada.

Serangan tengah malam itu membunuh 13 orang dan mencederakan 40 yang lain.

Selang beberapa jam kemudian sebuah kereta lagi meletup di tengah-tengah khalayak orang ramai di daerah Karkh. Kali ini ia meragut 10 nyawa dan mencederakan 44 yang lain.

Sebelum itu pada sebelah petangnya pula, seorang lelaki yang memakai jaket sarat dengan bahan letupan meletupkan dirinya sendiri di pusat pemeriksaan tentera di bandar Hit, ke barat Baghdad.

Kejadian meragut 12 nyawa termasuk tujuh anggota tentera dan mencederakan 24 yang lain.

Adalah menjadi kebiasaan untuk rakyat Iraq keluar beramai-ramai di bulan Ramadan sehingga ke lewat malam untuk menghabiskan masa dengan anggota keluarga sementara menanti waktu bersahur.

Karrada pernah berhadapan kejadian bom bunuh diri pada Julai 2016 dimana insiden serangan bom menggunakan trak meragut 324 nyawa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here