Bajet 2018: Ambil pembantu rumah asing tanpa melalui ejen

0
85
Advertisement

KUALA LUMPUR: Menyedari beban kos yang ditanggung isi rumah bagi penggajian pembantu rumah asing, kerajaan kini memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata selain itu, majikan juga boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada.

“Pada masa ini kos keseluruhan membawa masuk setiap pembantu rumah boleh mencecah setinggi RM12,000 hingga RM18,000,” katanya ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Justeru, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan mengkaji semula kos pengambilan pembantu rumah asing supaya ia dapat dikurangkan pada masa depan.

Dalam pada itu, kerajaan turut mengumumkan 2018 sebagai tahun memperkasa wanita dengan melaksanakan beberapa langkah, termasuk mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam keahlian lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan berkanun sebelum akhir 2018.

Najib berkata selain itu, tempoh cuti bersalin mandatori bagi swasta dicadang supaya dinaikkan daripada 60 hari kepada 90 hari seperti yang telah dilaksanakan oleh perkhidmatan awam.

Beliau mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk program latihan dan keusahawanan wanita antaranya PEAK Entrepreneur Programme menerusi MyWin Academy.

“Bagi menggalakkan golongan wanita kembali bekerja, kerajaan mencadangkan layanan pengecualian cukai pendapatan individu disediakan ke atas pendapatan yang diperoleh dalam tempoh 12 bulan berturut kepada mereka selepas tempoh sekurang-kurangnya dua tahun berhenti daripada pekerjaan,” katanya.

Najib berkata pengecualian tersebut layak dituntut bagi tahun taksiran 2018 hingga 2020.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here