Bajet 2018: Utamakan kebajikan pasangan keluarga muda – Fahariyah

0
187
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bajet 2018 yang akan diumum Jumaat ini diharap memberi keutamaan kepada kebajikan pasangan keluarga muda yang diibaratkan ‘baru mahu memulakan hidup’.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Fahariyah Md Nordin berkata ia termasuk perhatian kepada isu syarat pemilikan rumah pertama yang kini disifatkan terlalu ketat.

“Syarat untuk memiliki rumah pertama kini terlalu ketat termasuklah pinjaman bank memandangkan isu ini sebenarnya bukan baru malah saya tidak nafikan kerajaan telah melakukan pelbagai cara bagi mengatasi masalah ini.

“Cuma apa yang saya nampak, pasangan muda menghadapi kekangan apabila berhadapan dengan syarat yang terlalu ketat dan juga tidak layak untuk membuat pinjaman bank dan akhirnya mereka terpaksa menyewa rumah yang kini harganya amat tinggi.

“Sekiranya golongan ini diberi insentif, bantuan khas atau potongan cukai untuk sekurang-kurangnya memiliki rumah pertama dalam kategori rumah kos sederhana atau mampu milik sudah pasti ini akan banyak membantu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Rabu.

BACA: Pra-Bajet 2018: Wajarkah desakan kenaikan kadar gaji minimum? BACA: ‘Visi ekonomi saya untuk Malaysia’ – PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini membuka satu ruangan menerusi web https://bajet2018.najibrazak.com yang mengajak rakyat berkongsi cadangan mengenai Bajet 2018.

Sebanyak 13,837 cadangan rakyat diperoleh dan diteliti Datuk Seri Najib.

Dalam pada itu, kata Fahariyah, beberapa isu lain lain berkaitan keluarga muda harus diberikan penekanan seperti masalah pengurusan waktu terutamanya bagi mereka yang bekerja bukan diwaktu pejabat.

“Cadangan saya adalah kerajaan dapat menambah insentif dan perlaksanaan yang lebih berkesan dalam memastikan lebih ramai majikan menyediakan pusat asuhan kanak-kanak.

“Selain itu, saya juga mencadangkan agar kerajaan menyediakan subsidi kos yuran pusat penjagaan anak bagi golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar memandangkan yuran di taska dan pusat asuhan semakin melambung tinggi.

“Kerajaan juga boleh menggesa pihak majikan untuk melaksanakan dasar waktu bekerja anjal dan bekerja dari rumah kerana ini dapat membentuk pembangunan kanak-kanak yang lebih baik selain mengelak gejala sosial,” ujarnya.

Bagi pendidikan dan pembangunan kanak-kanak pula, Fahariyah menyarankan kerajaan memperbanyakkan tadika kemas di kawasan bandar serta menambah peruntukan untuk membaik pulih infrastruktur tadika kemas sedia ada.

“Bagi mengurangkan kos sara hidup pula, saya mencadangkan agar kerajaan meningkatkan cukai perlepasan untuk ibubapa yang berpendapatan dari RM1,500 ke RM3,000.

“Selain itu, saya turut mencadangkan agar mengasingkan dan meningkatkan pelepasan cukai bagi KWSP dan insurans nyawa, mengecualikan cukai GST bagi barangan keperluan bulanan seperti tuala wanita, lampin pakai buang bayi serta warga emas.

“Sudah pasti pelepasan ini akan memberikan khabar yang lebih gembira kepada masyarakat kerana ia bukan tertakluk hanya kepada kakitangan kerajaan sahaja. Bajet 2018 untuk semua!” katanya.

Datuk Seri Najib sebelum ini berkata, Bajet 2018 yang bakal dibentangkan akan merangkumi aspirasi rakyat yang disampaikan menerusi siri dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Beliau berkata kerajaan tidak akan menunggu sehingga 2050 untuk melaksanakan input-input yang disuarakan menerusi siri dialog TN50, tetapi berusaha merealisasikannya secara berperingkat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here