Bak anak sakit

0
66



Kuala Lumpur: “Nasib ribuan kakitangan PROTON Holdings Berhad (PROTON) akan terjejas jika tiada langkah penyusunan semula dilakukan. Puluhan ribu kakitangan syarikat ini termasuk vendor dan pembekal akan hilang pekerjaan jika Proton sudah tidak mampu berdaya saing.

“PROTON ini umpama anak yang sakit, kalau anak sakit kita hantar hospital untuk rawatan, dalam perniagaan, syarikat yang tenat kita lakukan penyusunan semula dengan rakan strategik.”

Demikian tegas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung penjualan sebahagian saham milik syarikat pengeluar kereta nasional itu kepada Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) sebanyak 49.9 peratus pegangan saham.

Johari berkata, jika tiada langkah untuk memulihkan PROTON diambil, syarikat berkenaan akan mengalami nasib sama seperti Perwaja Steel Sdn Bhd (Perwaja).

“Pada 2015, PROTON mengalami kerugian kira-kira RM650 juta manakala pada tahun lalu kerugian syarikat itu dicatatkan pada kadar RM1.5 bilion. Kerugian ini berlaku apabila berlaku penurunan jumlah pengeluaran kereta.

“Jumlah pengeluaran PROTON merudum. Untuk setiap bulan jumlah yang terjual sekitar 5,000 unit saja, bagaimana syarikat ini mahu terus beroperasi dengan jumlah itu.

“Jadi, kerajaan memberi galakan kepada pemilik PROTON iaitu DRB-HICOM Berhad (DRB- HICOM) untuk mencari rakan strategik dan formula itu mampu untuk mengembalikan kegemilangan PROTON suatu ketika dulu,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan van jenazah yang disumbangkan Bank Muamalat kepada Masjid Al Akram, Jalan Datuk Keramat, di sini.

“Kita jangan terlalu sentimental. Kita sentimental, tetapi rugi, sentimental dan melihat PROTON mengalami nasib serupa seperti Perwaja Steel Sdn Bhd. Akibatnya, pekerja dibuang dan mereka hilang pendapatan.

“Ini yang mahu kita elakkan, kerajaan yakin Geely Holding yang juga memiliki kepakaran kereta jenis Volvo mampu untuk memberi nilai tambah terutama dalam model baru PROTON kelak,” katanya.

Menurutnya, rakan strategik ini juga akan meningkatkan jumlah pengeluaran Proton dan memasarkan kereta nasional itu di seluruh rantau Asia serta Timur Tengah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here