Bakar diri sendiri

0
57



Bera: Tertekan dengan masalah peribadi dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga emas mengambil jalan singkat menamatkan riwayatnya dengan membakar diri sehingga rentung di depan rumahnya di Taman Raya, Triang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 10.45 pagi itu mangsa, King Chun, 72, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya ditemui penduduk taman berkenaan dalam keadaan terbaring.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang tidak bekerja tinggal seorang diri berdiri di tepi pagar rumahnya dan berjalan keluar sambil memegang tong plastik berisi bahan api serta pemetik api.

Sumber berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa mencurah semua bahan api dalam tong plastik sebelum menyalakan api ke badannya.

“Mangsa terbakar 100 peratus dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum penduduk taman menemui mayat lelaki berkenaan terbaring di tepi pagar lalu menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera untuk meminta bantuan,” katanya.

Katanya, polis menemui tong plastik bersama pemetik api yang digunakan mangsa untuk membakar diri dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk bedah siasat.

Menurut sumber itu, polis akan bertemu dengan waris mangsa untuk mengambil keterangan bagi mengenal pasti punca sebenar lelaki warga emas berkenaan membakar diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera Deputi Superintendan Mansor Samsudin, ketika dihubungi, di sini, semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here