Baker 'berdesup' laju gegar Stadium London

0
335
Advertisement



LONDON: Pemenang pingat gangsa 60 meter dalam dewan dunia, Ronnie Baker muncul pemenang acara 100m pada hari pembukaan Liga Berlian London semalam selepas rakan senegaranya dari AS, Christian Coleman cedera.

Baker dijangka mencabar catatan terbaik dunia tahun ini 9.88 saat yang dipegangnya bersama Noah Lyles – seorang lagi pelari Amerika Syarikat yang memburu kegemilangan global selepas era Usain Bolt – apabila dia menang acara saringan dengan masa 9.90s di Stadium London.

Coleman, juara 60m dalam dewan dunia, menarik diri kerana masalah hamstring, namun Baker terpaksa bekerja keras untuk meraih kemenangan pada perlumbaan final apabila mencatat 9.90s sekali lagi susulan permulaan yang buruk.

Pelari Britain, Zharnel Hughes meraih tangga kedua dengan 9.93, manakala juara Sukan Komanwel dari Afrika Selatan, Akani Simbine di tangga ketiga dengan 9.94.

“Saya pastinya berasa pantas hari ini, berlari dua 9.90s,” kata Baker. “Konsisten adalah kunci dalam acara pecut jadi saya sudah meletakkan penanda aras. Harapnya saya boleh mengatasi catatan terbaik dunia itu.”

Coleman bergelut dengan masalah hamstring sepanjang musim panas ini dan sekalipun kembali selepas 44 hari berehat dengan memenangi acara 100m di Rabat lapan hari lalu, pelari AS berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan semula ketika memanaskan badan di trek sebelum saringan.

Sementara itu, juara 100m Olimpik dua kali dari Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce, yang membuat kemunculan semula selepas melahirkan anak lelaki Zyon pada Ogos tahun lalu, mengatasi Dezerea Bryant dari AS untuk mengungguli acara 100m wanita dengan masa 10.97s, catatan bawah 11 saat pertamanya dalam tempoh dua tahun.

“Saya amat teruja,” kata Fraser-Pryce, sambil menambah: “Saya tidak peduli apa yang orang lain kata mengenai kemunculan semula sebagai ibu pada usia 31 tahun.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here