Bale miliki kualiti Ronaldo

0
42
Advertisement



BINTANG Real Madrid, Gareth Bale memiliki kualiti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo yang kini menyertai Juventus, kata jurulatih baru kelab Sepanyol itu Julen Lopetegui.

Bale bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama di bawah kendalian pengurus sebelumnya  Zinedine Zidane dan berkata selepas menewaskan Liverpool pada final Liga Juara-Juara, dia mahu kerap bermain dalam skuad utama.

Bercakap menjelang aksi pra musim menentang Manchester United di Miami, Lopetegui berkata masa depan pemain Wales berusia 29 tahun itu masih bersama kelab gergasi Sepanyol.

“Cristiano Ronaldo adalah antara pemain utama dalam sejarah terkini Real Madrid. Dia menyatakan hasrat untuk meninggalkan pasukan dan kami membenarkannya. Gareth Bale adalah pemain yang menakjubkan dengan kualiti yang hebat. Dia boleh mengisi kekosongan itu,” kata Lopetegui.

Ronaldo menyertai kelab gegasi Itali, Juventus dengan kontrak selama empat tahun bernilai 100 juta euro (RM474.8 juta) awal bulan ini, menandakan berakhirnya kontrak sembilan tahun pemain itu di Madrid.

Lopetegui berpendapat, pemergian pemain Portugal itu adalah peluang keemasan buat Bale, yang dikaitkan media Sepanyol dengan perpindahan dari kelab itu, untuk kekal dan membuktikan bakat dimilikinya.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai situasi andaian,” kata Lopetegui, menafikan laporan bahawa Bale mungkin akan kembali ke Liga Perdana Inggeris bersama United dan kelab lamanya Tottenam Hotspur.

“Jika ini skuad yang saya miliki pada awal musim ini, saya sungguh gembira. Dia (Bale) bersama pasukan ini. Dia gembira dan ia selari dengan matlamat kami. Ia permulaan yang mengujakan buat kami.”

Real memulakan kempen mereka musim ini dengan pertembungan Piala Super UEFA menentang juara Liga Europa dan pencabar tetangga Atletico Madrid pada 15 Ogos. Mereka berdepan Getafe pada aksi sulung La Liga, empat hari kemudian. – Reuters

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here