Baljit julang PULAPOL KL

0
473
Advertisement



BALJIT Singh muncul wira Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur apabila jaringannya pada babak kedua membantu pasukan itu menewaskan musuh tradisi Bukit Aman 2-1 pada aksi final Kejohanan Hoki Ketua Polis Negara (KPN) di Stadium Hoki Kuantan, di sini semalam.

Bagaimanapun, Bukit Aman terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Megat Azrafiq Megat Termizi seawal minit kelima sebelum Dick Cheny Wail menyamakan kedudukan pada minit ke-29 dan Baljit menjaringkan gol pemusnah menerusi pukulan sudut penalti di minit ke-50.

Jurulatih PULAPOL Kuala Lumpur, Willian Lazaroo berkata, persefahaman dan kecergasan yang tinggi menjadi kelebihan kepada pasukannya untuk menjulang kejuaraan musim ini selepas hanya mampu menduduki tempat ketiga tahun lalu.

“Kita mencatat kemenangan pada lima perlawanan peringkat kumpulan dan jaringan terbanyak dicatat pada perlawanan dengan Pahang apabila 13 gol disumbat oleh jentera serangan.

“Saya berpuas hati dengan kejayaan menjulang kejuaraan musim ini selepas hanya menduduki tempat ketiga musim lalu dan lebih membanggakan apabila menewaskan pasukan Bukit Aman,” katanya.

Sementara itu, dalam saingan Liga Divisen Satu, Sabah muncul juara selepas menewaskan Terengganu 2-1 menerusi penentuan penalti.

Bagi acara boling padang, juara berpihak kepada kontinjen Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (kedua) dan Johor serta Bukit Aman (ketiga).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Seri Johari Hussain dan Ketua Polis Pahang, Datuk Rosli Ab Rahman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here