Bangsawan The Lord of the Rings

0
59



Karya filem popular The Lord of the Rings dipentaskan dalam bentuk bangsawan?

Ia bukan perkara mustahil kerana dibuktikan kumpulan produksi Persatuan Seni Ceritera Negeri Selangor menerusi pementasan Bangsawan Cincin Naga Api, baru-baru ini.

Persembahan pembuka tirai program Semarak Bangsawan 2017 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) ini ditulis semula dalam konsep bangsawan oleh Roydy Rokidy dan diarahkan Khusiary Mahyuddin dan Roydy.

Nama popular yang ditampilkan iaitu Datuk Jalaluddin Hassan, Filzah Azmi dan Ain Sufia (kumpulan Awok), Azerai Azmi, Afi AF dan ramai lagi menyaksikan peminat hadir memenuhi Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang tiga malam persembahan berlangsung.

Khusiary dan Roydy berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka mengadaptasi naskhah ini dengan baik manakala barisan pelakonnya pula memberikan lakonan cemerlang.

Persiapan selama beberapa bulan merangkumi aspek olahan skrip dan latihan ternyata berkesan.

Khusiary menggunakan pengalaman luasnya dengan mengadunkan pelbagai aspek mengambil kira set pentas, karakter, kostum dan unsur kekaguman yang berjaya menggamit penonton untuk mengikuti jalan cerita dari awal hingga akhir persembahan.

Dia juga bijak menggubah lagu yang sesuai dengan persembahan ini supaya kena dengan konsep bangsawan yang ditampilkan.

Khusiary berkata, apa yang dilakukan bukanlah kerja yang mudah. Apatah lagi filem The Lord of the Rings mempunyai pengikut yang ramai.

“Saya pasti ada peminat yang hadam dengan jalan cerita serta watak dalam filem itu. Sebagai penggiat teater, saya maklum kerja adaptasi kadang-kadang perlu mengikut kesesuaian sesebuah medium persembahan, contohnya bangsawan.

“Tak wajar untuk dibandingkan filem dengan teater, apatah lagi membabitkan kekangan kewangan yang jauh bezanya,” katanya.

Menyedari harapan peminat yang tinggi, Khusiary mengekalkan jalan cerita asal serta melakukan sedikit kelainan supaya penonton terus menonton sehingga akhir persembahan.

“Apa yang saya janjikan adalah kepuasan serta kekaguman dalam mengekalkan konvensi bangsawan yang dihasilkan daripada konteks baru dan cuba lari daripada cerita alam Melayu kerana saya yakin bahawa bangsawan yang mengikut arus zaman ini bersifat universal dan diversiti.

“Cerita ini diadaptasi 50 peratus daripada naskhah asal, sementara 50 peratus sudah diolah agar sesuai dipentaskan dengan skala kecil,” katanya.

Katanya lagi, rasional The Lord of the Rings dipilih kerana jalan ceritanya yang diketahui ramai serta mampu memberi pelbagai emosi buat penonton.

“Sebagai pengkarya, saya cuba tampilkan sebuah cerita yang lain daripada karya yang ada dan ia perlu ada elemen mampu membuat penonton suka sehingga terus mengikutinya ke akhir persembahan.

“Bangsawan Cincin Naga Api mempunyai semua elemen ini merangkumi emosi sedih, suspens, takut dan gembira yang mampu membuai perasaan penonton. Ada watak yang ditukar dan ada juga penambahan bagi memantapkan lagi jalan cerita,” katanya.

Dalam pada itu, Khusiary memuji setiap pelakonnya kerana membalas kepercayaan diberikan dengan menampilkan lakonan cemerlang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here