Banjir: Bantuan antarabangsa tiba di Sri Lanka

0
44


ANGGOTA Tentera Sri Lanka mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Molkawa. – Foto AFP

COLOMBO: Bantuan antarabangsa mula tiba di Sri Lanka hari ini tatkala kematian akibat banjir dan tanah runtuh sejak minggu lalu mencecah 202 orang.

Menteri Luar, Ravi Karunanayake, berkata 16 negara memberi sumbangan kecemasan termasuk perubatan untuk membantu lebih 600,000 penduduk yang meninggalkan kediaman susulan banjir sejak Jumaat lalu.

“Kami terharu dengan reaksi serta merta dari seluruh dunia, termasuk pertanyaan daripada beberapa negara dan pertubuhan mengenai apa yang diperlukan untuk membantu mangsa,” kata Karunanayake di sini.

India dan Pakistan juga menghantar pasukan perubatan di kawasan yang paling teruk dilanda bencana alam itu.

Pusat Pengurusan Bencana mengesahkan jumlah kematian meningkat kepada 202 selepas lebih banyak mayat mangsa tanah runtuh ditemui di tenggara Sri Lanka, manakala 96 lagi masih hilang.

Ketika banjir mula surut di beberapa kawasan, ratusan sukarelawan membersihkan perigi untuk mendapatkan bekalan air bersih kepada mangsa yang terselamat.

Jurucakap kerajaan, Rajitha Senaratne berkata pasukan perubatan tambahan juga dikerah untuk mencegah penyebaran penyakit bawaan air di kawasan terbabit.

Pada Mei 2003, seramai 250 orang terbunuh dan 10,000 rumah musnah akibat banjir monsun. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here