Bank Islam sasar keluar 50,000 kad debit visa-BAM menjelang akhir tahun

0
387
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd menyasar untuk mengeluarkan 50,000 Kad Debit-i baharu, menjelang akhir 2018 melalui usaha terkini penjenamaan bersama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Khairul Kamarudin berkata bank kini mempunyai 3.2 juta pemegang kad debit jenama bersama di seluruh negara.

Kerjasama dengan BAM itu merupakan penjenamaan bersama ke-16 oleh bank yang sebelum ini bekerjasama dengan persatuan bola sepak kebangsaan dan negeri, pasukan hoki, universiti dan syarikat telekomunikasi.

“Pengenalan kad BAM ini merupakan sebahagian daripada strategi Bank lslam dalam memperluaskan penyertaannya mencapai peminat sukan di seluruh negara. Sebagai perantara kewangan, misi kami adalah untuk membantu Bank Negara Malaysia merealisasikan aspirasi mewujudkan masyarakat tanpa tunai.

“Kami akan terus memperluaskan inisiatif bersama penjenamaan dan bekerjasama dengan pelanggan untuk menawarkan nilai yang berbeza kepada pelanggan kerana kami ingin mencapai segmen komuniti yang lebih muda,” katanya pada pelancaran kad itu di sini hari ini.

Beliau berkata sebahagian hasil yuran tahunan kad akan diberikan kepada BAM sebagai sebahagian daripada sumbangan bank dan pemegang kad kepada pembangunan pasukan badminton nasional.

“Bagi setiap kad yang dikeluarkan dan diperbaharui, RM2.00 akan disalurkan kepada BAM untuk tujuan tersebut,” katanya.

Bersempena dengan pelancaran itu, Bank lslam juga menyediakan penajaan sebanyak RM300,000 kepada BAM untuk membantu persatuan memajukan sukan untuk mencari pemain berpotensi untuk negara.

Turut hadir pada acara itu ialah Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Kad baharu itu akan dikeluarkan di 147 cawangan Bank Islam di seluruh negara mulai minggu ketiga bulan depan.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan mengunjungi cawangan terdekat Bank lslam, menghubungi 03-26900900 atau melayari www.bankislam.com my.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here