Bank Negara lantik dua Penolong Gabenor baharu

0
399
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) melantik dua Penolong Gabenor baharu iaitu Nazrul Hisyam Mohd Noh dan Tan Nyat Chuan, berkuat kuasa 1 Mei, 2018.

Bank Pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata Nazrul Hisyam akan memegang peranan sebagai Ketua Staf dan Setiausaha kepada Lembaga Pengarah BNM serta bertanggungjawab terhadap Pejabat Gabenor, Jabatan Komunikasi Strategik dan Jabatan Pengurusan Strategik.

Sebelum pelantikan beliau sebagai Ketua Staf pada tahun 2016, Nazrul Hisyam telah berkhidmat di BNM selama hampir 20 tahun dan memegang pelbagai jawatan, yang terakhir ialah sebagai Pengarah, Jabatan Antarabangsa.

Sementara itu, Tan akan bertanggungjawab terhadap hal-hal sistem pembayaran.

Tanggungjawab utama beliau adalah untuk memastikan sistem penjelasan, penyelesaian dan pembayaran negara akan terus dilaksanakan secara mantap, selamat dan cekap.

Tan juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas di Payments Network Malaysia Sdn. Bhd, dan juga salah seorang ahli Jawatankuasa Kestabilan Kewangan dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko BNM.

“Beliau mempunyai pengalaman kerja selama lebih 30 tahun di BNM dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah, Jabatan Audit Dalaman,” kata bank pusat itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here