Baru dua minggu ditayangkan, 'Abang Long Fadil 2' raih kutipan RM13 juta

0
43

KUALA LUMPUR: Baru dua minggu tayangan, filem “Abang Long Fadil 2” berjaya meraih kutipan sebanyak RM13 juta.

Pengarahnya Syafiq Yusof meningkatkan rasa syukur kerana berjaya menambat minat masyarakat dan penggemar filem tempatan untuk menyokong industri tempatan.

“Alhamdulillah, minggu lepas lima hari RM5 juta. Kita dah sampai hari yang ke-13 dan alhamdulillah kita kutip RM13 juta,” kata Syafiq ketika muncul dalam program Agenda AWANI pada Rabu bersama ayahnya dan juga penerbit filem Datuk Yusof Haslam.

Sementara itu, Yusof berkata filem “Abang Long Fadil 2” merupakan hasil kerjasama pertama di antara Skop Production dengan Astro Shaw dengan meletakkan kos hampir 4 juta.

Beliau pada mulanya hanya mensasarkan filem ini mendapat sambutan dan tidak mengalami kerugian, namun tidak menyangka ia mengutip sebanyak RM5 juta dalam tempoh hanya lima hari.

“Ini merupakan pembakar semangat kepada pembikin filem yang lain sebab kita tahu banyak filem tempatan yang merudum sekarang,” kata Yusof.

Beliau menambah formula menghasilkan filem yang baik bukan melalui pemilihan pelakon popular semata-mata, tetapi juga aspek lain seperti isi dan jalan cerita yang mampu menarik minat penonton.

“Abang Long Fadil 2” merupakan filem bergenre aksi komedi dibintangi selebriti ternama, antaranya Zizan Razak, AC Mizal, Wak Doyok, dan Syamsul Yusof.

Filem ini mula ditayangkan pada 24 Ogos lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here