Baru empat hari ditayangkan, 'Tombiruo: Penunggu Rimba' kutip lebih RM2 juta

0
82
Advertisement

WALAUPUN baru ditayangkan bermula 12 Oktober lalu, filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi dari karya novelis thriller nombor satu di Malaysia, Ramlee Awang Murshid telah pun telah berjaya meraih kutipan lebih RM2 juta.

Lebih menakjubkan apabila negeri Sabah merupakan penyumbang kutipan tertinggi untuk filem ini.

Sepanjang empat hari ditayangkan, rata-rata penonton yang telah menyaksikan filem ini memberikan respons positif menerusi perkongsian di laman sosial.

Malah filem ini berada di tangga ke dua untuk carta filem GSC (Golden Screen Cinema) dan sekali gus mengetepikan filem-filem luar negara seperti The Foreigner, Blade Runner 2049 dan Kingsman: The Golden Circle.

Selain itu, video tayangan perdana filem Tombiruo: Penunggu Rimba juga mendapat perhatian pengguna laman sosial apabila video berdurasi 25 minit tersebut berada di tempat keenam dalam kategori video tular di YouTube.

Berita baik buat penonton di selatan tanah air kerana barisan filem ini iaitu, Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda,Faizal Hussein, Farah Ahmad, Artu, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa,Faye Khusyairi, Dynas Mokhtar dan adik Muhammad Al-Rayyan akan menemui anda semua selama 3 hari bermula 20 sehingga 22 Oktober ini.

Mewakili pihak penerbit filem, Eksekutif Produser Layar Sunan dan Penulis novel Tombiruo: Penunggu Rimba, Ramlee Awang Murshid memberitahu berkata dia bersyukur filem tersebut mendapat tempat di hati penonton dalam keadaan sekarang.

“Alhamdulillah, dalam keadaan kutipan industri filem tempatan yang agak kurang menentu sekarang ini, karya Tombiruo: Penunggu Rimba dilihat diterima oleh kebanyakan penonton.

“Kami amat menghargai sokongan penonton serta komen-komen yang dikongsi. Saya mewakili pihak penerbit berharap penonton yang telah menonton filem ini akan mengajak rakan-rakan serta keluarga untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

“Tambahan pula minggu ini telah bermula cuti sekolah dan cuti umum bakal tiba Rabu ini,” katanya.

Tombiruo: Penunggu Rimba memaparkan kisah Ejim digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba. Lelaki yang sentiasa bertopeng ini disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah tidak seperti manusia.

Apabila satu insiden yang tragis berlaku pada Tombiruo, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam. Sementara itu, Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya. Pergelutan diantara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing.

Saksikan filem Tombiruo di pawagam di seluruh negara. Layari laman sesawang www.tombiruomovie.com serta laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta Youtube Astro Shaw dan Astro Gempak untuk berita dan informasi terkini. Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #tombiruo, #tombiruomovie dan #penunggurimba sebagai tanda sokongan pada filem ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here