Baru pulih yob: Hafiz

0
309
Advertisement



SEKALIPUN sudah pulih daripada kecederaan lutut, Hafiz Kamal belum bersedia sepenuhnya untuk membantu Perak mengharungi Piala Malaysia yang bermula esok.

Hafiz yang berehat sejak menjalani pembedahan pada November lalu tidak mahu mengambil risiko dengan memaksa diri untuk segera beraksi kerana bimbang kecederaan itu akan berulang.

“Saya sudah menyertai rakan-rakan dalam latihan. Setakat ini tidak ada rasa sakit, cuma saya masih mengalami kesukaran untuk membengkokkan kaki.

“Kalau ikutkan hati, saya tidak sabar untuk bermain kerana sudah hampir setahun saya berehat. Tetapi, memandangkan baru pulih, saya belum bersedia kerana bimbang kecederaan akan berulang jika dipaksa.

“Dalam keadaan sekarang, elok saya tumpukan kepada latihan untuk mengembalikan kecergasan serta sentuhan. Masa terbaik untuk saya beraksi semula adalah awal musim depan,” kata Hafiz.

Bagaimanapun, Hafiz berkata kata putus terletak di tangan Mehmet Durakovic.

Jika jurulatih itu memerlukan khidmatnya untuk Piala Malaysia, dia akan cuba memberikan yang terbaik.

Namun pemain itu beranggapan Perak tidak terdesak kerana sepanjang ketiadaannya musim ini, pasukan itu beraksi cemerlang sehingga muncul sebagai naib juara Liga Super.

Malah, Hafiz yakin skuad The Bos Gaurus boleh mara pergi jauh dalam saingan Piala Malaysia tahun ini selepas disekat Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir dengan kekalahan 1-4 secara agregat musim lalu.

“Bukan berniat memperkecilkan pasukan lain tetapi berdasarkan prestasi Perak musim ini, peluang untuk melepasi peringkat kumpulan sangat cerah walaupun dijangka tetap menerima tentang sengit daripada tiga pasukan lain,” katanya.

Perak berada dalam kumpulan A bersama Terengganu, Kuala Lumpur dan FELCRA FC. Naib juara Liga Super itu akan memulakan kempen menentang FELCRA di Stadium Perak, malam esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here