Bau bahan terbakar di timur laut Singapura

0
35

SINGAPURA: Penduduk di bahagian timur laut Singapura mengadu mereka menghidu kualiti udara ‘tidak selesa’ sejak petang hari ini.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam kemaskini Facebooknya pada awal malam ini (7.45 mlm), berkata ia menerima beberapa panggilan mengenai bau gas atau kebakaran di kawasan berkenaan.

SCDF berkata ia telah mengerahkan sumbernya untuk menyiasat,

“Belum ada sebarang insiden yang disahkan,” katanya dan menyatakan SCDF dan Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) memantau rapi keadaan.

Berhubung laporan harian mengenai situasi jerebu, NEA berkata, pada 6 petang hari ini, Indeks Standard Pencemaran (PSI) 24 jam ialah 50-54, di bahagian bawah julat Sederhana.

Ia mengambil perhatian bahawa satu titik panas dikesan di bahagian utara Sumatra, dan tidak ada tanda-tanda asap atau jerebu dikesan.

The Straits Times melaporkan bahawa “bau itu dipercayai datang dari Johor.”

Miguel Pena menulis pada Facebook SCDF: “Kawasan lapangan terbang Seletar terburuk. Seperti memandu dalam awan… bau gas yang kuat…”

“Bishan (berbau) seperti minyak tanah atau bau ‘fogging’, sukar bernafas, rasa pening, semua tingkap rumah ditutup,” tulis Leonard Low.

Dalam kemaskini terbarunya, NEA berkata pihaknya mendapat tahu pada kira-kira 5 petang dari maklum balas daripada orang awam mengenai bau gas di kawasan Sengkang dan Punggol.

NEA berkata pegawai-pegawainya telah dikerahkan ke kawasan berkenaan untuk menyiasat.

“Semua tahap kualiti udara pada tempoh tersebut didapati dalam had yang selamat,” katanya.

Sejak kira-kira 3 petang hari ini, NEA berkata angin bertiup perlahan dan terdapat pertembungan angin di angkasa separuh bahagian utara Singapura, yang mungkin menyebabkan himpunan bau di kawasan itu.  

“Angin dijangka bertiup dari selatan atau tenggara lewat malam ini, yang akan membantu menyuraikan sebarang bau di kawasan berkenaan,” katanya.   

Sementara itu, SCDF dalam kemaskini terbaru berkata tim pemantau tidak ada mengesan kehadiran Kimia Industri Toksik di udara.  

SCDF dan NEA berkata mereka akan terus memantau rapi keadaan.   

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here