Beberapa letupan kedengaran di Zimbabwe, nafi rampasan kuasa

0
17

HARARE: Beberapa letupan kedengaran di Harare, Zimbabwe pada awal pagi Rabu, dua hari selepas tentera mengancam untuk “campur tangan”, bagi menamatkan krisis politik di negara itu, lapor agensi berita Xinhua.

Menerusi siaran televisyen tempatan, seorang pegawai tentera Zimbabwe mengumumkan, pihak tentera bukan berniat mengambil alih kerajaan, sebaliknya “menyasarkan beberapa penjenayah di sekeliling” Presiden Robert Mugabe.

Mugabe bersama keluarganya berada dalam keadaan selamat dan keselamatan mereka adalah dijamin, menurut kenyataan pegawai tentera sambil mengatakan tentera berjaya menyempurnakan “misi mereka”.

Menurut laporan, anggota tentera ditempatkan di seluruh ibu kota Zimbabwe dan menguasai stesen penyiaran tempatan, selepas parti pimpinan Mugabe menuduh ketua tentera sebagai pengkhianat.

Bunyi tembakan didengari berdekatan dengan kediaman peribadi Mugabe, tambah laporan itu.

Minggu lalu, Mugabe memecat Naib Presiden, Emmerson Mnangagwa, sekutu politiknya selama lebih 40 tahun, atas tuduhan menipu dan tidak setia. 

Panglima Tentera, Constantino Chiwenga yang mengeluarkan kenyataan pada Isnin berkata, penyingkiran terhadap pegawai parti pemerintah kanan harus berakhir “serta-merta”.

Berikutan itu, pada Selasa Parti Pemerintah ZANU-PF, mengecam kenyataan Panglima Tentera yang mengancam untuk campur tangan tentera dalam pertikaian politik.

Kenyataan Chiwenga keterlaluan dan boleh menggugat keamanan serta kestabilan negara, kata jurucakap parti, Simon Khaya Moyo dalam satu kenyataan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here