Bekas diktator Noriega meninggal dunia

0
20


GAMBAR fail Manuel Antonio Noriega di Panama City pada 11 Oktober 1989. – Foto Reuters

PANAMA CITY: Bekas diktator Panama, Manuel Antonio Noriega meninggal dunia pada usia 83 tahun lewat malam tadi, selepas berada dalam keadaan uzur selama lebih tiga bulan.

Noriega meninggal dunia di Hospital Santo Tomas ketika menjalani rawatan bagi pembedahan pendarahan otak, iaitu pembedahan kedua selepas pembedahan ketumbuhan otak awal Mac lalu.

Beliau sebelum itu berada di dalam penjara bagi menjalani hukuman atas pelbagai jenayah termasuk membunuh dan kehilangan ramai individu ketika memerintah Panama pada 1983 hingga 1989.

Pengumuman kematian beliau dibuat oleh Setiausaha Perhubungan Panama, Manuel Dominguez.

Keluarga mendiang pernah merayu kerajaan untuk membenarkan Noriega menjalani baki hukuman di rumah berikutan pelbagai komplikasi kesihatan dialami mendiang, termasuk kanser prostat, masalah jantung serta kemurungan, namun rayuan itu ditolak dan kerajaan mengarahkan Noriega kembali ke penjara selepas selesai dirawat.

Beliau diberi pelepasan sementara pada 28 Januari lalu bagi membolehkannya menjalani pembedahan ketumbuhan otak.

Pemerintahan kejam Noriega berakhir selepas campur tangan tentera Amerika Syarikat (AS) pada Januari 1990 yang menyaksikan beliau diterbangkan ke AS dan disabitkan atas kesalahan pengedaran dadah serta pengubahan wang haram.

Pada 2010, mendiang dihantar ke Perancis dan sekali lagi disabitkan dengan kesalahan pengubahan wang haram.

Tahun berikutnya, Noriega menjalani perintah ekstradisi ke Panama dan dipenjara untuk tuduhan membunuh seorang musuh politik pada 1985, pembunuhan seorang pegawai tentera yang cuba menggulingkan beliau pada 1989 dan pembunuhan beramai-ramai anggota tentera yang ingkar pada perintah beliau. – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here