Belanja keseluruhan RM7.47 bilion

0
192
Advertisement



LIVERPOOL berbelanja besar dalam jendela perpindahan sebagai usaha merapatkan jurang dengan penyandang juara, Manchester City tetapi ia menjadi tempoh yang sukar buat bos Manchester United, Jose Mourinho.

Pengurus City, Pep Guardiola pula akhirnya memperoleh pemain Leicester, Riyad Mahrez dengan memecahkan rekod pembelian kelab itu ketika Arsenal turut membeli beberapa pemain tetapi tidak dianggap bintang.

Kelab-kelab di Liga Perdana Inggeris membelanjakan 1.4 bilion pound (RM7.47 bilion) yang memecah rekod pembelian pada musim panas lalu menurut penganalisis bola sepak, Deloitte tetapi setakat ini tiada apa yang mampu menyaingi perbelanjaan United mendapat Paul Pobga atau kehadiran Alexis Sanchez ke Emirates, dua tahun lalu.

Liverpool pasti berbangga dengan pencapaian mereka ketika ini apabila memperoleh khidmat beberapa pemain berkualiti antaranya penjaga gol Brazil, Alisson, Fabinho dari Monaco, Naby Keita (RB Leipzig) dan Xherdan Shaqiri tetapi pengurus, Jurgen Klopp enggan terbawa-bawa dengan kejayaan itu.

“Kami perlu bersedia untuk menghadapi cabaran yang besar, sasaran yang besar,” kata Klopp.

“Semua pasukan lain turut mempunyai kualiti jadi kami perlu bersedia untuk bersaing, bukan meraikan pembelian pemain atau perkara seperti ini.”

Mourinho dalam pada itu gagal untuk menahan diri daripada ‘mengganggu’ seterunya apabila berkata, aktiviti The Reds ketika jendela perpindahan meningkatkan jangkaan peminat terhadap saingan utama liga Inggeris itu sejak 1990.

“Dengan pelaburan yang kamu lakukan musim lalu dan ketika ini, ia mungkin menjadi rekod liga musim ini, pasukan yang juga finalis Liga Juara-Juara,” kata Mourinho.

“Kamu (Liverpool) perlu mengatakan yang kamu adalah pencabar yang utama, perlu menang.”

Pengendali dari Portugal itu tampil dengan perwatakan penuh kecewa ketika pra-musim susulan kegagalan kelab itu membawa masuk sasarannya sekalipun sudah mendapatkan tiga pemain, Fred, Diogo Dalot dan penjaga gol veteran, Lee Grant.

Guardiola dalam pada itu tidak terperanjat dengan perbelanjaan mewah Liverpool dan masih gembira dengan skuad juara yang dimilikinya tetapi kehadiran Mahrez dengan harga 60 juta pound (RM320.19 juta) jelas menguatkan jentera serangannya.

“Setiap kelab melakukan apa yang mereka percaya, saya amat memahaminya,” kata pengurus dari Sepanyol itu. “Mereka (Liverpool) adalah pilihan untuk menjulang gelaran, mereka sentiasa pilihan atas sejarah yang mereka miliki.”

Ketika Chelsea berusaha mengekalkan beberapa tonggaknya termasuk Eden Hazard, Thibaut Courtois dan Willian di London, mereka sudah pun memperoleh pemain tengah Napoli, Jorginho manakala Tottenham masih belum membeli seorang pun pemain. 

Jendela perpindahan akan ditutup sehari sebelum perlawanan Liga Perdana musim 2018/19 membuka tirainya pada 10 Ogos ini, membabitkan Manchester United dan Leicester City.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here