Bella tak manjakan diri ketika sarat hamil

0
55


KUALA LUMPUR: Dijangka menimang cahaya mata pertama hasil perkahwinan dengan Aliff Aziz pada 17 Julai ini, Bella Astillah cuba untuk tidak memanjakan diri ketika sedang sarat menanti masa melahirkan zuriat.

Bella berkata, disebabkan sudah terbiasa menemani suami di lokasi penggambaran untuk menguruskan pelbagai keperluannya, dia akan bingung jika bersendirian di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti.

PELAKON, Aliff Aziz dan isterinya, Bella Astillah. – Foto Aswadi Alias

“Jalan terbaik, saya cuba sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti luar termasuk bertemu keluarga dan rakan-rakan. Saya didik diri supaya tidak manja. Biarpun sedang sarat, saya masih memandu ketika pulang beraya ke Singapura, baru-baru ini.

“Saya tidak boleh bersendirian di rumah kerana nanti pelbagai perkara yang akan saya fikir. Jadi, saya perlu lakukan sesuatu kerana tidak mahu fikiran serabut,” katanya.

Bella yang diijabkabulkan dengan penyanyi Sayang Sayang itu pada 9 September lalu berkata, mereka sudah menyiapkan segala keperluan menanti kelahiran cahaya mata yang juga sulung kepada keluarga kedua-dua belah pihak.

“Masing-masing teruja dan ada ketika, agak kelam-kabut kerana banyak yang perlu diuruskan. Lagipun, ini pengalaman pertama saya dan suami menyambut kelahiran. Kami hanya berdoa proses kelahiran nanti akan dipermudahkan,” katanya.

Berhasrat untuk melahirkan bayinya itu secara normal, Bella bertuah kerana Aliff sentiasa mengambil berat mengenai penjagaan kesihatannya.

“Setiap kali bertemu, Aliff lebih teruja bertanya dan meminta pandangan. Di rumah, Aliff juga banyak membuat penyelidikan mengenai wanita hamil dan proses menjadi ibu bapa di internet.

“Jika diberi peluang, saya ingin melahirkan anak secara normal kerana mahu melalui pengalaman manis menanti detik menjadi ibu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here