'Belum tahu lagi nasib'

0
63
Advertisement



KUALA LUMPUR: Undian semula acara bola sepak Sukan Asia hari ini jelas menimbulkan pelbagai persoalan apabila pihak Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) terus berahsia mengenai format yang akan digunakan.

Setakat ini, maklumat yang pasti adalah undian semula itu dilakukan kerana mahu memasukkan dua pasukan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Palestin yang tercicir pada undian awal di Jakarta, 5 Julai lalu.

Menurut jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee, beliau tidak dimaklumkan secara terperinci mengenai undian semula itu sama ada ia membabitkan semua 26 pasukan atau hanya dua pasukan berkenaan.

“Saya tidak tahu mengenai undian semula itu, saya juga tidak pasti sama ada perlu hadir atau tidak ke majlis undian itu. Kita akur dengan keputusan pihak tuan rumah untuk mengadakan undian semula sama ada ia membabitkan semua pasukan atau UAE dengan Palestin saja,” katanya kepada Sukan NSTP.

Berdasarkan laporan www.xinhuanet.com, selepas undian semula itu, Kumpulan A, C D dan F akan mempunyai empat pasukan manakala Kumpulan B dan E lima pasukan.

Jika undian semula itu hanya membabitkan UAE dan Palestin, ia pasti memberi perkhabaran buruk buat Malaysia yang kini berada dalam Kumpulan E bersama juara bertahan Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain.

Jika itu berlaku, penambahan perlawanan dengan kemasukan pasukan UAE atau Palestin bakal memberi laluan lebih perit buat anak buah Kim Swee yang menyasarkan untuk mara ke suku akhir.

Adalah lebih adil untuk undian semula membabitkan semua pasukan dilakukan namun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang ditugaskan untuk melaksanakan majlis itu esok turut tidak mendapat sebarang maklumat mengenai formatnya.

“Setakat ini AFC masih menunggu surat mengenai format undian daripada OCA,” jelas Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John ketika dihubungi.

Saingan bola sepak Sukan Asia Indonesia dijadual bermula pada 14 Ogos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here