Benih pokok tin keratan dahan

0
14



Kuantan: Fakulti Kuliah Sains Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan sedia berkongsi kepakaran dengan pihak yang berminat mengusahakan tanaman pokok tin ficus carica tanpa memerlukan modal besar.

Ketua Jabatan Sains Tumbuhannya, Dr Rozitawati Shahari berkata, kejayaan melakukan penyelidikan membabitkan medium tanaman, baja, penyakit dan khasiat yang terdapat pada pokok berkenaan perlu disebarkan kepada masyarakat.

Menurutnya, selama tiga tahun kajian dilakukan dengan perbelanjaan lebih RM32,000 dan hasilnya banyak rumusan dapat dibuat membabitkan tanaman pokok tin yang sebelum ini ramai tidak yakin tumbuhan terbabit boleh hidup di negara ini.

Katanya, penggunaan 100 peratus medium organik selain tidak menggunakan racun menjadi kelebihan kepada projek tanaman pokok tin yang diusahakan Fakulti Kuliah Sains UIAM kampus Kuantan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Pihak yang berminat mempelajari teknik menanam dan menjaga pokok tin boleh menghubungi UIAM kampus Kuantan, aktiviti pendidikan tanaman diadakan setiap hujung minggu.

“Kita juga menjual benih pokok tin pada harga antara RM20 dan RM200 mengikut saiz pokok yang dihasilkan daripada keratan dahan,” katanya yang berjaya menghasilkan buah tin mencecah berat 80 gram sebiji.

Dr Rozitawati berkata, pihaknya kini mempunyai lebih 700 pokok tin pelbagai saiz dan umur untuk tujuan penyelidikan serta dijual kepada pihak berminat, hanya kaedah keratan dahan sahaja digunakan untuk menghasilkan pokok baru.

Menurutnya, penyelidikan terbaharu yang sedang dilakukan ialah untuk melakukan cantuman antara pokok tin dengan pokok ara tempatan sekiranya berjaya sejarah baru dalam bidang sains pertanian berjaya dicipta di UIAM kampus Kuantan.

“Buah dan daun pokok tin mendapat permintaan menggalakkan daripada syarikat tempatan dan luar negara bagi menghasilkan teh serta jus untuk pasaran antarabangsa, justeru, masyarakat di negara ini perlu beralih untuk menanam pokok tin yang begitu mudah penjagaannya.

“Pokok tin boleh ditanam dalam pasu sebagai pokok hiasan secara terbuka kepada matahari, pokok berkenaan tidak memerlukan banyak air. Dalam tempoh tidak sampai setahun ditanam pokok terbabit akan berbuah,” katanya di sini, semalam.

SHARE
Previous articleCantas gengster
Next articleAPMM terbaik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here