Berbaloi korbankan Aidilfitri  

0
26
Advertisement



 

WAKIL negara, Imran Zakaria mengakui tindakannya menyertai program sosial kanak-kanak, Football For Friendship (F4F) tetap berbaloi walaupun terpaksa mengorbankan sambutan Aidilfitri bersama keluarga.

Imran, 16, menjelaskan banyak ilmu dan pengalaman baharu peroleh terutama apabila diberi tugas sebagai jurulatih muda dan membimbing satu daripada 32 pasukan dalam kejohanan di bawah program berkenaan.

Malah, dia turut berterima kasih kepada pihak penganjur, PJSC Gazprom dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana memilihnya menjadi seorang daripada dua wakil negara ke program yang berlangsung sejak 8 Jun lalu hingga esok.

“Perasaan memang sedih kerana tidak dapat menyambut hari raya pertama bersama keluarga. Tapi saya fikir pengorbanan saya ini berbaloi dengan apa yang saya dapat daripada program ini selain berkesempatan merasai suasana menonton Piala Dunia buat kali pertama.

“Malah, program ini banyak mengajar saya betapa pentingnya kerjasama antara semua individu dalam satu pasukan bola sepak.

“Memikul tugas sebagai jurulatih memang berat kerana bila pasukan kalah, jurulatih yang akan dipersalahkan. Buat masa ini, saya lebih fokus menjadi pemain dulu dan soal untuk memasuki bidang kejurulatihan saya akan fikir kemudian,” katanya.

Imran bersama seorang lagi wakil negara, Lauren Hoh, 12, turut diberi kesempatan menyaksikan majlis pembukaan dan perlawanan pertama Piala Dunia 2018 antara Russia dan Arab Saudi di Stadium Luzhniki, hari ini.

Lauren diberi pendedahan sebagai wartawan muda yang membuat liputan sepanjang program itu turut senada dengan Imran dan menyifatkan pengalaman diperoleh berguna untuk masa depannya.

“Ini pengalaman pertama saya bertugas sebagai wartawan dan ia cukup mencabar terutama perlu berdepan dengan ramai orang.

“Program ini juga mengajar saya erti persahabatan dan perpaduan walaupun berlainan bangsa dan agama,” kata Lauren.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here