Berhentilah fitnah saya – Wan Maimunah [METROTV]

0
412
Advertisement



PRESIDEN Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave hari ini menziarahi dan menyerahkan bantuan sumbangan kepada pelakon, Wan Maimunah yang dirawat di hospital Alor Gajah, Melaka.

Dave dihubungi berkongsi keadaan terkini pelakon Rumah Di Tengah Sawah itu yang kini semakin stabil.

“Alhamdulillah, Wan berada dalam keadaan baik dan semakin pulih. Tapi, asma dia masih lagi ada dan bila saya berbual dekat dengannya, dapat dengar bunyi nafasnya.

“Dia memberitahu saya dia sedih bila ada pihak tidak bertanggungjawab, menyebarkan berita palsu mengenai kematiannya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Wan, 64, tidak mahu keluarganya bimbang apabila berita palsu itu disebarkan.

“Lagi pula, di hospital ini susah terima panggilan telefon kerana talian tak jelas. Jadi, tak baik kalau ada yang buat berita begitu,” katanya.

Ini bukan kali pertama pihak YA1M memberikan sumbangan kepada Wan Maimunah.

“Sebelum ini, ketika dia dimasukkan ke hospital pada 2016, kami dah pernah berikan sumbangan. Hari ini, kami berikan sumbangan kewangan untuk membantu keperluannya,” katanya.

Tambahnya, Wan memberitahunya bahawa dia masih ingin aktif berlakon.

“Dia beritahu saya bahawa dia masih ada menerima tawaran lakonan, namun orang tengah sentiasa menjadi masalah. Katanya, janji bayaran lain, tapi bila dapat, jumlahnya lagi sikit,” katanya.

Dave turut mengirimkan video luahan rasa Wan Maimunah yang sempat dirakamkannya.

Dalam video berdurasi seminit 17 saat itu, Wan Maimunah dalam keadaan sebak meminta orang ramai berhenti membuat fitnah terhadap dirinya.

“Allah masih sayangkan saya, masih beri saya nyawa dan nafas. Apa yang digembar-gemburkan dalam YouTube, itu adalah fitnah semata-mata.

“Kepada sesiapa yang suka buat fitnah sebegitu, tolonglah. Bukan menyusahkan saya, tapi menyusahkan kaum keluarga dan semua orang.

“Anak saya di luar negara. Kalau dia dapat tahu, macam mana? Minta tolong jangan buat fitnah macam ni,” katanya.

Wan Maimunah dikejarkan ke hospital pada Sabtu lalu akibat sesak nafas dan jangkitan pada paru-paru.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here