Berhibur sampai anak dilarikan

0
23



Seremban: Seorang wanita terpaksa meminta bantuan polis menyelamatkan anak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai disembunyikan seorang kenalan lelaki yang meminta RM2,000 sebagai tebusan membebaskan kanak-kanak itu.

Sumber berkata, mangsa berusia 25 tahun dan sudah bercerai dilaporkan menghantar anaknya kepada suami rakannya sementara wanita itu keluar berhibur di sebuah kelab malam di daerah ini.

“Wanita dari Kapar, Selangor datang ke bandar ini pada 12 Jun lalu dan menyerahkan anaknya kepada suami seorang rakan. Dia menyerahkan hak penjagaan sementara dan berjanji membayar RM500 sebulan.

“Sebaik anaknya diserahkan, wanita itu berhibur di kelab malam bersama beberapa rakan hingga mabuk. Malangnya, dia bersama rakan diberkas polis dalam operasi kerana tidak membawa kad pengenalan,” katanya.

Kata sumber itu, sebaik dibebaskan tiga hari kemudian, wanita itu memerlukan RM500 bagi membayar suami rakan.

“Dia menghubungi seorang rakan lelaki di Banting, Selangor bagi meminta pertolongan, tetapi panggilan tidak dijawab,” katanya.

Menurut sumber, pada 15 Jun lalu wanita terbabit menghubungi rakan wanitanya dan dimaklumkan anaknya sudah diambil seorang lelaki dari Banting.

“Malah, wanita itu turut terkejut apabila dimaklumkan anak lelakinya dibelasah teruk sebelum dibawa ke Selangor. Mangsa menghubungi lelaki berusia 22 tahun itu namun diarahkan membayar RM2,000 jika mahu anaknya dibebaskan.

“Dia juga diugut jika wang tidak diberi, anaknya akan dibelasah,” katanya memberitahu wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, jam 6 petang kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here