"Beri peluang budak-budak baru nak up" – Asad Motawh

0
63
Advertisement

PENYANYI muda As’ad Motawh mohon agar peminat memberikan peluang kepada penyanyi generasi baharu (budak-budak baru nak up) untuk menonjolkan bakat.

Kata As’ad, 17 tahun, selepas insiden memalukan dalam sebuah rancangan siaran langsung di Indonesia hujung tahun lalu, netizen sering meletakkan justifikasi penyanyi generasi baharu tidak berbakat sebaliknya hanya menjual rupa.

“Berilah peluang kepada budak-budak baru nak up untuk mempersembahkan bakat yang mereka ada, janganlah asyik menghentam dan mengutuk sahaja.

“Misalnya saya sendiri, pengalaman dalam bidang nyanyian belum cukup setahun lagi dan masih banyak yang perlu dipelajari.

“Janganlah kerana satu kesalahan, pelbagai hukuman dijatuhkan kepada saya,” katanya kepada Astro Gempak.

BACA: Insiden memalukan di Indonesia: “Saya tak pasti itu sabotaj” – As’ad Motawh

BACA: ‘Jangan kecam, pagi memang susah nak menyanyi’- Tajul pertahan As’ad Motawh

As’ad yang ditemui pada majlis pengumuman Top 20 Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME 2018) di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui dia tidak segan untuk mengambil kelas vokal dan tarian bagi mengasah kemahiran yang ada.

“Saya sekarang sudah masuk kelas vokal dan tarian bagi memperbaiki persembahan saya selepas ini.

“Daripada soal rezeki pula, Alhamdulillah setakat ini tidak terjejas pun malah semakin banyak.

“Keluarga terutamanya ibu dan bapa saya banyak memberikan sokongan dan berharap saya tidak salah percaturan lagi selepas ini,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, As’ad merancang bakal mengeluarkan album sulungnya yang memuatkan 10 buah lagu pada Disember tahun ini.

As’ad yang sedang sibuk dengan persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini bakal mengadakan siri jelajah Asia Tenggara (Indonesia, Thailand, Singapura dan Filipina) pada hujung tahun ini.

Sementara itu, As’ad juga tercalon dalam kategori Artis Baharu MeleTOP untuk AME 2018 di samping Hannah Delisha, Ismail Izzani, Wany Hasrita, Farah Nabilah dan Afifah Nasir.

Undian fasa pertama AME 2018 mula dibuka mulai 22 Januari 2018 bermula 6 petang hingga 23 Februari 2018 untuk anda menentukan lima calon terbaik daripada 20 pencalonan awal.

Undian boleh dibuat secara online di tiga buah platform iaitu di laman web rasmi www.anugerahmeletopera.com.my, aplikasi ERA dan aplikasi RAKU yang boleh dimuat naik secara percuma di App Store dan Google Play Store.

Seterusnya undian fasa kedua untuk menentukan pemenang akhir untuk setiap kategori pula boleh dibuat menerusi laman web rasmi, aplikasi ERA dan RAKU serta kiriman SMS bermula 6 Mac 2018, pukul 1 tengahari hingga 8 April 2018, pukul 12 tengahari.

Klik di sini untuk melihat senarai top 20 AME 2018.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @asadmotawh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here