'Berjuang selagi boleh berjalan'

0
29
Advertisement



 

PEMAIN perseorangan lelaki profesional, Liew Daren menegaskan dia tidak akan mensia-siakan peluang terhidang bagi mencipta sejarah dengan menarik diri biarpun dibelenggu kecederaan kaki menjelang aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia, esok. 

Daren yang bernaung dengan Akademi Badminton Air Asia meraih pencapaian luar biasa dalam kerjayanya apabila mara ke separuh akhir selepas menumbangkan pemain muda Jepun, Kanta Tsuneyama 22-20, 21-23, 22-20 dalam aksi suku akhir di Pusat Sukan Olimpik Nanjing, China, hari ini. 

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu terpaksa membayar kemenangan berkenaan dengan harga yang tinggi apabila dia mengalami kecederaan buku lali kanan pada set kedua dalam perlawanan berkenaan. 

Namun, dia menunjukkan semangat juang tinggi apabila tetap meneruskan permainan dan berjaya memenangi set penentuan. 

Daren berkata, dia tidak akan menarik diri melainkan dia sudah tidak boleh berjalan. 

“Ketika saya jatuh itu memang rasa sangat sakit dan selepas itu lawan berjaya meraih beberapa mata untuk menang set kedua. Namun, di set ketiga, saya sudah berasa lebih baik dan boleh bermain seperti biasa. 

“Saya tidak akan tarik diri kecuali saya sudah tidak boleh jalan. Ini adalah peluang terbaik sepanjang kerjaya untuk melangkah sejauh mungkin dalam Kejohanan Dunia, jadi saya perlu manfaatkan peluang ini dan berjuang habis-habisan,” kata Daren. 

Bagaimanapun, tugas berat dijangka menanti Daren dalam usahanya mara ke final apabila dia akan bertemu sama ada ada pilihan keenam dari Jepun, Kento Momota atau B Sai Praneeth dari India, esok. 

“Saya akan tengok semula permainan dia (Momota) dan fikir strategi terbaik untuk menentangnya. Saya janji akan berikan aksi terbaik dalam separuh akhir, esok,” kata Daren. 

Pencapaian kali ini adalah  sesuatu yang tidak pernah diraihnya sepanjang bernaung bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama 12 tahun sebelum dia meninggalkan badan induk itu pada awal 2016 susulan kemerosotan prestasi. 

Sebagai rekod, kejayaan terbaik pemain berusia 31 tahun itu ketika bersama BAM adalah muncul juara Terbuka Perancis 2012 selain mara sehingga pusingan ketiga Kejohanan Dunia 2013 di Guangzhou.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here