Berlian putih paling jarang ditemui bakal dijual di London

0
162
Advertisement

LONDON: Sebutir berlian yang tiada cacat cela, dan bersaiz seperti sebiji buah strawberi besar, dijangka merekodkan nilai jualan tertinggi dunia apabila ia memasuki pasaran di Sotheby’s, di London bulan ini.

Berlian putih berkilauan seberat lebih 102-karat dan berbentuk bulat itu, kecil sedikit bebanding berlian bujur 118-karat yang pernah dijual di Hong Kong pada tahun 2013.

Setakat ini, berlian bujur itu memegang rekod harga jualan paling tinggi per karat.

Namun begitu, Sotheby’s, yang juga mengendalikan jualan di Hong Kong itu, menjangkakan batu permata yang lebih kecil itu bakal mencapai harga lebih tinggi kerana ia jarang ditemui dan berkualiti tinggi.

“Permata yang dijual di Hong Kong itu dijual pada harga AS$260,000 (RM1 juta) sekarat, kini masih menjadi rekod dunia bagi jualan berlian tanpa warna. Yang ini pula dengan bentuknya yang bulat dan dipotong dengan penuh ketepatan, pasti harganya lebih tinggi,” ujar Pengerusi Sotheby’s Diamonds, Patti Wong kepada Reuters.

Berlian itu adalah satu-satunya permata melebihi 100-karat yang diberikan gred paling tinggi dalam semua kriteria oleh Institut Gemologi Amerika, yang menilai mutu batu permata.

Pihak Sotheby’s bagaimanapun tidak mendedahkan harga permata berlian itu, yang akan dijual dalam satu acara jualan tertutup.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here