Bersederhana sambut raya

0
72



Melihatkan personaliti dan kedudukannya sebagai pelakon popular, tentu ramai beranggapan artis jelita, Uqasha Senrose, 24, akan memastikan persiapan menyambut Aidilfitri dibuat secara besar-besaran.

Paling tidak artis terkenal dan jelita seperti Uqasha akan pasang badan menggayakan baju berpuluh pasang kerana harus berdepan dengan peminat apabila mengunjungi sanak saudara mahupun sahabat handai.

Tambah pula selain Uqasha, dua lagi adiknya turut bergelar pelakon popular, Nelydia dan Raysha Rizrose. Pastinya mereka bertiga harus dilihat penuh gaya apabila ada yang datang beraya mahupun berkunjungan.

Bagaimanapun Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen ketika ditemui baru-baru ini menafikannya.

Katanya, tanggapan seperti itu langsung tidak benar sebaliknya persiapan yang dilakukannya tidak ada beza dengan orang lain.

“Saya membuat persiapan biasa-biasa saja. Malah tahun ini persiapan dibuat saat akhir memandangkan sepanjang Ramadan lalu saya sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Hero Seorang Cinderella.

“Tahun ini juga saya beraya bersama keluarga di sini dan tidak pulang ke Kelantan memandangkan di sana sudah tiada sesiapa.

“Saya juga tidak bercadang mengadakan majlis rumah terbuka hari raya tahun ini. Malah memang kami sekeluarga tidak pernah buat rumah terbuka,” katanya.

Kebiasaannya apabila tiba Ramadan, Uqasha dan Nelydia akan berehat panjang dan tidak akan menerima mana-mana tawaran berlakon.

Bagaimanapun berbeza kali ini apabila dia sibuk di lokasi Hero Seorang Cinderella arahan Michael Ang.

Katanya, tawaran diberikan Michael susah untuk dilepaskan.

“Memang betul saya jarang bekerja di bulan puasa dan juga musim Aidilfitri tetapi tawaran diberikan ini sangat rugi kalau saya tidak buat kerana ia sebuah cerita yang bagus.

“Apatah lagi karakter saya sebagai Puteri sangat menarik kerana graf watak dan perwatakannya turun naik. Permainan emosi untuk watak Puteri juga kuat.

“Sebagai pelakon, sudah tentu watak sedemikian yang sering dicari. Apabila ia datang kepada saya, susah untuk saya melepaskannya,” katanya.

Uqasha dikenali menerusi watak Nurin Areesa dalam drama Tundukkan Playboy Itu akui ini kali pertama dia memegang watak antagonis dan harus bermain dua karakter.

“Bagi mereka yang mengikuti drama ini, pasti tahu watak Puteri dalam Hero Seorang Cinderella sangat jahat tetapi pada pertengahan cerita dia berubah menjadi baik.

“Bagaimanapun berlaku konflik di antara dia dan Medina lakonan Fazura yang tidak mempercayai Puteri sudah berubah,” katanya.

Bekerja dengan pelakon berpengalaman seperti Fazura juga menyebabkan Uqasha menerima tawaran untuk membintangi drama ini.

Katanya, beraksi bersama pelakon hebat seperti Fazura juga membuatkan dia gementar tetapi diakui banyak menimba pengalaman dan tunjuk ajar daripada pelakon itu.

“Maksud saya, bukanlah dia mengajar dalam erti kata mengajar saya bagaimana hendak berlakon, sebaliknya setiap kali saya bertanya bagaimana dia menjayakan sesuatu babak dia akan memberikan jawapan.

“Jawapan diberikan Fazura sedikit sebanyak berguna untuk saya gunakan apabila berlakon nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here